Politik

Covid-19: Tidak ada pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’, ‘keseluruhan masyarakat’

KERAJAAN masih lagi belum mengambil pendekatan ‘keseluruhan kerajaan’ dan keseluruhan rakyat dalam menangani wabak Covid-19.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang berkata,  untuk itu Parlimen dan penyampaian keadilan perlu diumumkan sebagai “perkhidmatan penting negara”.

Kerajaan juga katanya, harus memanggil sidang penuh Parlimen dan bukannya persidangan sehari yang tidak masuk akal pada 18 Mei.

“Satu soalan yang berlegar di fikiran ramai orang semalam selepas pengumuman daripada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dan pelonggaran kawalan pergerakan bermula Isnin ini adalah kerajaan masih lagi belum mengambil pendekatan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk memastikan kejayaan melawan wabak Covid-19 ini.

“Pada persidangan sehari 18 Mei ini, urusan mesyuarat Parlimen hanyalah merangkumi penyampaian Titah Diraja oleh Yang di Pertuan Agong dan bacaan pertama rang undang-undang kerajaan,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam blog beliau.

Kata Kit Siang, perbahasan menjunjung Titah Diraja dan rang undang-undang kerajaan yang dibentangkan pada 18 Mei ini telah ditolak ke persidangan Julai Parlimen yang dijangkakan berlangsung selama 25 hari daripada 18 Julai sehingga 27 Ogos.

“Jika persidangan sehari ini diadakan, maka Parlimen akan mencipta satu sejarah baharu di mana ahli parlimen perlu hadir namun tidak dibenarkan untuk berbahas, di mana mereka dijangka untuk berdiam diri seperti orang bodoh!

“Dalam persidangan Julai Parlimen, tradisi perbahasan menjunjung Titah Diraja yang kebiasaannya berjalan selama 12 hari telah dipendekkan ke lapan hari, di mana tempoh perbahasan lapan hari telah dipendekkan kepada hanya empat hari, disusuli dengan empat hari jawapan daripada menteri.

“Perkara ini adalah merepek dan tidak boleh diterima. Sepatutnya waktu jawapan menteri selama empat hari itu yang dipendekkan dan bukannya waktu perbahasan oleh ahli parlimen.

Katanya, Perdana Menteri harus mengembalikan persidangan penuh pada 18 Mei, di mana ahli parlimen akan berpeluang untuk menyampaikan pendapat dan aduan rakyat, terutamanya ketika PKP semasa Parlimen bersidang.

Sementara itu, katanya, persiapan haruslah dijalankan supaya persidangan Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas secara maya boleh diadakan apabila Parlimen bersidang pada 18 Mei.

“Wabak Covid-19 kini dianggap jauh lebih merbahaya daripada sebarang wabak-wabak lain dalam sejarah terdekat. Ramai yang percaya yang wabak ini telah mengorbankan jauh lebih banyak nyawa berbanding dengan angka rasmi.

“Di peringkat global, jumlah jangkitan Covid-19 telah mencecah 3.4 juta manakala jumlah kematian kini menghampiri 240,000.

“Kita perlu memastikan yang kawalan pergerakan Covid-19 tidak memusnahkan ekonomi negara dan perkara ini memerlukan pendekatan yang melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” untuk meraih sokongan, solidariti, dan perpaduan terhadap sebarang tindakan kerajaan dalam melawan wabak ini,” katanya. – SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button