Mahkamahpilihan

Mengaku tak bersalah terhadap 33 pertuduhan, nasib Zahid Hamidi diketahui hari ini!

Shah Alam: Tumpuan akan terarah kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa pagi ini untuk keputusannya sama ada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membela diri atau dibebaskan daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Mohd Yazid dijangka mengumumkan keputusan di akhir kes pendakwaan pada 9 pagi.

Sekiranya keputusan mahkamah berpihak kepada pendakwaan, yakni mahkamah mendapati terdapat kes prima facie terhadap Ahmad Zahid, 69, maka beliau akan dipanggil untuk membela diri, namun jika keputusan adalah sebaliknya, bekas timbalan perdana menteri itu akan dilepas dan dibebaskan.

Sekiranya Ahli Parlimen Bagan Datuk itu diperintah membela diri, mahkamah akan mendengar keterangan daripadanya dan saksi pembelaan lain.

Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Mei 2021 dan pihak pendakwaan serta pembelaan selesai berhujah pada 7 September lalu.

Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Beliau didakwa melakukan kesalahan di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan di Country Heights, Kajang, antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga mengaku tidak bersalah terhadap 33 pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, sebagai Menteri Dalam Negeri, menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta berhubung sistem VLN antara 2014 hingga 2017.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid turut mengaku tidak bersalah atas dakwaan sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000; RM3,000,000; 15,000 Swiss Franc dan US$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di Country Heights, antara Jun 2015 dan Oktober 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Seramai 40 wartawan tempatan dan asing diberikan pas untuk mengikuti prosiding berkenaan menerusi satu pautan video di sebuah bilik selain mahkamah juga menyediakan 30 pas bagi jurugambar dan jurukamera video yang ditempatkan di lobi Kompleks Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

(Visited 315 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button