Nasional

Meneruskan makanan tradisi Kerepek Ginang, elak dilupakan generasi kini

SALAH satu daripada makanan tradisi negeri Cik Siti Wan Kembang ialah kerepek ginang yang diperbuat daripada beras pulut yang amat sesuai untuk dirasai oleh semua lapisan peringkat umur.

Pengusaha kerepek ginang, Mastura Mohd Lazim, 31, meneruskan perniagaan turun-temurun itu daripada arwah neneknya, Nafisah Majid, sambil dibantu ibunya Rohimah The, 55, agar tidak dilupakan generasi kini, menurut laporan BERNAMA.

“Sejak pemergian nenek saya pada 2018, perusahaan kerepek ginang yang diusahakannya diberikan kepada saya untuk meneruskan legasi makanan tradisi ini supaya dapat dikomersialkan secara lebih meluas.

“Kebetulan ketika itu saya sedang mencari pekerjaan, namun gagal mendapatkan tawaran walaupun telah menghadiri pelbagai temu duga.

“Dari situ, saya terdetik untuk mengusahakan kerepek ginang ini secara serius,” katanya kepada BERNAMA.

Bercerita lanjut, pada zaman kanak-kanak dahulu tidak mempunyai banyak pilihan makanan ringan sebab itu kerepek ginang menjadi pilihan mereka.

Tambahnya, orang dahulu memanfaatkan lebihan beras yang hancur dan untuk mengelakkan pembaziran, ia dijadikan makanan ringan sehingga tercetus idea olahan pembuatan kerepek ginang tersebut.

Mastura berkata, kira-kira 10 kilogram beras pulut dan sekilo santan diperlukan untuk membuat kerepek ginang setiap hari.

“Untuk tarikan, kerepek ini dihasilkan dengan pelbagai warna iaitu hijau, jingga dan merah. Malah ada juga dalam kalangan pelanggan yang meminta untuk dihasilkan tanpa warna,” katanya.

Mengulas lanjut, Mastura berkata acuan untuk membuat kerepek ginang perlu dijemur selama dua hari di bawah panas terik cahaya matahari untuk memastikan ia benar-benar kering untuk mengelakkan kerepek ginang yang dimasukkan ke dalam acuan itu menjadi lembik dan rosak.

“Kerepek yang dijemur di atas jaring besi pula perlu dibalikkan selepas empat jam dijemur. Prosesnya mengambil masa yang agak lama kerana ia perlu dijemur di bawah cuaca panas. Sekiranya cuaca baik, maka penghasilan kerepek juga memberangsangkan namun ia akan berlaku sebaliknya jika cuaca mendung atau hujan.

“Apabila tiba musim tengkujuh saya terpaksa menghentikan penghasilan makanan tradisi ini kerana cuaca tidak mengizinkan,” katanya.

Menurut Mastura, beliau mampu menghasilkan sekitar 3,000 keping kerepek ginang dalam satu hari dengan harga yang dijual RM10 untuk 50 keping.

“Kebiasaannya, saya akan meletakkan kerepek di gerai saya yang terletak berdekatan dengan rumah selain turut menghantar ke kedai runcit terdekat,” katanya.

Beliau juga mendapat tempahan pelanggan dari negeri lain seperti Kuala Lumpur dan Johor yang mampu meraih keuntungan lebih RM1,000 sehari. -SM

(Visited 349 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button