Ekonomi

DeXandra sasar jualan RM40 juta sehingga hujung tahun

SATU fenomena telah dibangkitkan dan dicipta oleh minyak wangi DeXandra apabila 15 haruman koleksi terbaharu, Travel Spray, berjaya mencatat rekod terbaik jualannya iaitu 40,000 dalam tempoh sehari.

Minyak wangi jenama DeXandra menjadi rebutan pengguna setia terawalnya yang bukan sahaja mahu memiliki tetapi untuk menikmati aroma sensasi revolusi Eau De Parfum (EDP) yang nyata, baunya tahan lebih lama.

Ketua Pegawai Eksekutif DeXandra, Safwan Ismail.

Ketua Pegawai Eksekutif, Safwan Ismail berkata, majlis pelancaran yang diadakan secara virtual dan disiarkan secara langsung menerusi akaun facebooknya berjaya mengumpul 5,000 penonton.

Untuk makluman, siaran langsung pelancaran Travel Spray dikendalikan oleh pengacara Dayah Bakar dan Pengasas DeXandra, Ernayanee Nur Julaimi.

“Terdapat 15 haruman eksklusif dicipta yang mana 10 untuk wanita dan lima lelaki dalam kandungan botol 15ml dengan harga mampu milik.

“Bersandarkan kepada sambutan yang diterima, kami optimis Travel Spray akan mendapat sambutan yang baik dalam kalangan penggemar minyak wangi,” kata Safwan.

Beliau berkata, sehubungan itu, syarikat mengunjurkan jualan mencecah 300,000 botol sebulan dengan nilaian jualan RM40 juta sehingga hujung tahun ini.

Katanya, melalui sokongan dan komitmen 33,000 stokis dan pengedar berdaftar di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak, nilai jualan tersebut bakal dicapai walaupun keadaan ekonomi negara masih lagi sukar.

Beliau berkata, kajian dan pembangunan yang teliti telah dijalankan dalam memperkenalkan 15 haruman terbaharu menerusi slogan slim, sleek dan sassy dalam rekaan botol yang lebih kecil, mudah disimpan dan dibawa ke mana-mana.

Dua haruman daripada 15 himpunan Travel Spray DeZandra yang dilancarkan baru-baru ini.

“Koleksi kali ini berasaskan aroma alam yang menyegarkan, bunga-bungaan, buah-buahan serta gabungan inspirasi unik bau kayu dan pantai.

“Ini adalah hadiah istimewa buat pelanggan lama dan baharu selepas mengharungi tempoh pandemik yang panjang dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020  lalu,” katanya sambil menambah, turut terkesan tetapi berjaya mengharunginya  dan berniaga seperti biasa.

Katanya lagi, syarikat berjaya mengekalkan jualan dan bukan sahaja terus menerima tempahan produk malah menambah bilangan pekerja.

Bagaimanapun kata Safwan, terdapat antara pengedar yang terpaksa menutup operasi kedai dan kiosk yang disewa atas arahan PKP dan mereka dapat bangkit semula apabila jualan dalam talian meningkat.

Tambah beliau, pihak pengurusan turut melancarkan program moratorium Dexandra dan mereka yang terjejas diberikan bantuan bekalan tanpa bayaran untuk berniaga dan bayaran dibuat selepas produk terjual.

“Hasilnya sebanyak 7,300,000 botol terjual sejak pandemik Mac 2020 sehingga kini. Kami berasa bangga dapat membantu orang ramai yang terjejas pendapatan dengan menyediakan platform kepada yang ingin menjadi pengedar sah.

“Syarikat turut merasa bangga dengan kesetiaan pengedar dan 25 orang daripada mereka telah mencecah jualan RM1 juta.

“Bersandarkan keyakinan tersebut, kami percaya DeXandra mampu mendominasi pasaran Asia pada masa akan datang,” ujar beliau.

Syarikat, katanya, turut melabur sebanyak RM2 juta dengan memasang 70 unit papan iklan di sepanjang lebuhraya utama di seluruh negara sejak bulan lepas.

Selain minyak wangi, DeXandra turut  menawarkan   produk penyegar udara kenderaan, losyen, body mist dan sanitasi tangan sejak beberapa tahun lalu secara berperingkat .

Haruman ini juga telah menembusi pasaran Singapura, Indonesia, Thailand, Kemboja, China dan Hong Kong dengan melantik pengedar tunggal di setiap negara. – SM

Langgani saluran Telegram Suara Merdeka untuk berita terkini.

(Visited 638 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button