Berita

Menara Ilham Kena Sita Lagi, Peguam Anggap SPRM ‘Main Kotor’

PEGUAM yang mewakili Na’imah Abdul Khalid mengecam tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyita semula Menara Ilham, menyifatkannya sebagai langkah tidak berasas dan melampau.

Dalam kenyataan media hari ini, peguam Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal menyifatkan penyitaan kali kedua itu sebagai “tindakan paling tidak masuk akal yang pernah diambil oleh SPRM”.

Mereka menegaskan bahawa hartanah berkenaan telah pun disita sebelum ini dan mempersoalkan kesahihan serta motif sebenar di sebalik tindakan terbaharu SPRM.

“Adalah penting untuk ditegaskan bahawa walaupun Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM sering membuat dakwaan dan sindiran terhadap suami anak guam kami, Allahyarham Tun Daim Zainuddin, tiada satu pun pertuduhan rasuah pernah dikenakan ke atasnya.

“Kini, selepas gagal membawa sebarang pertuduhan terhadapnya, anak guam kami pula diganggu dengan tindakan penyitaan semula,” kata kedua-dua peguam tersebut.

Menurut mereka lagi, tindakan SPRM itu seolah-olah menunjukkan niat untuk terus merampas aset anak guam mereka walaupun tiada bukti kukuh berkait rasuah.

Susulan itu, pihak peguam memaklumkan mereka akan mencabar tindakan penyitaan berkenaan di mahkamah dalam masa terdekat.

Untuk rekod, penyitaan pertama terhadap Menara Ilham dilakukan pada 2023 di bawah Akta SPRM 2009.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan SPRM menyita tujuh aset milik keluarga Daim melalui permohonan ex parte, termasuk tiga hartanah mewah di London dan sebuah akaun bank yang dianggarkan bernilai RM758.2 juta.

Kesemua aset itu kini disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram serta Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AmlaTFPUAA).

Na’imah dalam kenyataannya semalam menegaskan bahawa beliau akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada bagi mencabar perintah tersebut dan berikrar untuk tidak tunduk kepada “pembuli”.

Pada 22 Mei lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya telah membekukan aset milik Daim yang dianggarkan bernilai RM2 bilion, dan percaya lebih banyak aset mungkin dapat dikesan kerana siasatan masih berjalan ke atas kekayaan yang didakwa disembunyikan oleh bekas Menteri Kewangan itu, ahli keluarganya serta individu proksi.

Nama Daim kembali menjadi tumpuan selepas SPRM membuka siasatan berhubung dakwaan penglibatannya dalam aktiviti rasuah dan pengubahan wang haram.

Daim turut didakwa gagal mematuhi notis SPRM untuk mengisytiharkan aset yang merangkumi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah dan dua akaun pelaburan.

Namun, selepas kematian Daim pada 13 November tahun lalu, pihak pendakwaan menarik balik kes yang dikenakan, sekaligus membebaskan beliau daripada semua pertuduhan.

Walau bagaimanapun, SPRM masih meneruskan siasatan terhadap aset dan aliran kewangan yang didakwa berkait rapat dengan keluarga dan proksi beliau.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button