Nasional

Kerusi keselamatan kanak-kanak: CTA JPJ sudah memadai

GABUNGAN Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Child Passenger Safety Malaysia (CPSM) mahu garis panduan kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS) yang dilancarkan baru-baru ini dikaji semula bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua badan bukan kerajaan berkata garis panduan itu menunjukkan satu Kod QR Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan diwujudkan pada CRS yang diluluskan penjualannya di Malaysia.

“Bagaimanapun, setelah FOMCA mendapatkan penjelasan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) , didapati kelulusan satu jenis komponen (CTA) oleh JPJ memadai untuk menunjukkan sebuah CRS itu diluluskan dengan standard keselamatan. Ini menyebabkan timbulnya persoalan keperluan Kod QR itu,” kata kenyataan itu.

Garis panduan CRS yang dipanggil ‘Buku Garis Panduan Kerusi Keselamatan Kanak-kanak di Malaysia’ berkenaan penggunaan CRS secara mandatori bermula 1 Jan tahun depan, dilancarkan pada 23 Nov lepas.

Mereka juga berkata bagaimanapun pada masa ini tidak ada CRS yang dijual di Malaysia diketahui mempunyai Kod QR itu dan ini mengakibatkan ibu bapa teragak-agak membeli kerusi keselamatan untuk anak-anak mereka.

FOMCA dan CPSM berkata langkah memperkenalkan Kod QR ini sekarang adalah tidak sesuai apatah lagi Malaysia masih di peringkat awal dalam memperkenalkan undang-undang baharu ini dan mempromosi penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Kenyataan itu juga berkata garis panduan CRS juga mengelirukan kerana ia tidak menggambarkan pandangan mereka yang berkepentingan termasuk badan bebas dan pengguna.

“MIROS adalah sebuah badan penyelidikan bukan badan pengesahan. Diharap Standards Malaysia masuk campur dalam isu ini kerana ia adalah badan akreditasi negara,” katanya.

Ia berkata JPJ dan Kementerian Pengangkutan sepatutnya menjadi badan bertanggungjawab untuk mengendors dan membuat sebarang garis panduan dan pengumuman rasmi berkaitan kerusi keselamatan kanak-kanak.

“Mereka juga sepatutnya menerbitkan senarai jenama dan model yang diluluskan dalam laman sesawang mereka yang berjaya mendapat CTA JPJ dan menepati standard keselamatan dikehendaki,” katanya.

Kedua-dua NGO juga menyuarakan kebimbangan mengenai kerjasama MIROS dengan sebuah syarikat e-dagang berkenaan program jaminan kerusi keselamatan itu yang dilihat bercanggah dengan Akta Persaingan 2010 kerana ia melanggar hak pengguna sementara mengehadkan pasaran. – BERNAMA

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button