
Politik
Menang Ketua AMK Sg Buloh, Bariqul Zaman sasar pentas AMK pusat
PEMIMPIN muda Bariqul Zaman Batharul Zaman yang menang bergaya mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Sungai Buloh baru baru ini mengintai peluang untuk pergi lebih jauh ke peringkat AMK Malaysia.
Beliau menang jawatan Ketua AMK Sungai Buloh dengan mendapat 771 undi menewaskan pencabarnya, Muhammad Sulhi, yang memperoleh 112 undi.
Memetik Suara Keadilan, kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Presiden Dewan Usahawan Malaysia itu untuk bertanding sebagai calon Majlis Pimpinan Pusat AMK Malaysia.
“Saya amat terharu dengan sokongan luar biasa daripada para anggota di Cabang Sungai Buloh. Inilah bukti semangat juang anak muda yang mahukan perubahan dan suara yang lebih lantang di peringkat pusat,” katanya dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, Bariqul Zaman menyeru seluruh perwakilan dan anggota AMK dari segenap pelusuk negara untuk bersama-sama memperkukuh perjuangan generasi muda selepas pemilihan 2025.
“Kita harus bersatu. Agenda pemuda perlu diangkat dengan lebih serius dan saya sedia menjadi suara itu di Majlis Pimpinan Pusat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menyatakan sokongan padunya kepada Saudara Kamil Munim yang akan bertanding sebagai Ketua AMK Malaysia.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Saudara Kamil Munim atas kemenangan beliau di Cabang Padang Rengas. Saya percaya kepimpinannya mampu membawa nafas baharu dan hala tuju yang jelas untuk AMK,” ujarnya.
Dengan rekod perkhidmatan yang konsisten dan komitmen yang tinggi di peringkat negeri Selangor, Bariqul Zaman kini bersedia untuk menggalas cabaran lebih besar mengukuhkan hala tuju perjuangan AMK Malaysia.