Rencah Hidup

Memori naik ETS, bas gamit 45 bekas pelajar UiTM Perlis

ALUMNI Diploma Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 1989-1992 Perlis kembali semula ke kampus selepas 30 tahun dengan penuh nostalgia.

Ia bermula dengan bergerak dari tempat tinggal masing-masing dengan menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) sebelum berkumpul untuk menaiki bas bersama-sama menuju ke UiTM Perlis.

Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak memotong kek bersama-sama dengan rombongan Alumni Diploma Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis 1989-1992.

“Dua pengangkutan inilah yang digunakan untuk kami berulang-alik ke kampus semasa menjadi pelajar,” kata Ketua Rombongan, Norlida A. Manaf.

Beliau berkata, ada yang menaiki ETS dari Seremban, KL Sentral dan turun di Tasik Gelugor, Pulau Pinang sebelum sama-sama menaiki bas ke Perlis.

Katanya, peluang melawat semula kawasan kampus yang ditinggalkan sekian lama ini juga mengembalikan semua kenangan pahit manis sebagai pelajar.

Beliau berkongsi pengalaman ini ketika bersama dengan 44 rakan sepengajiannya yang diraikan dalam satu majlis semasa mengadakan lawatan ke UiTM Perlis, baru-baru ini.

DR. Mohd Azlan Mohd Ishak menyerahkan cederamata kepada Norlida A Manaf yang mewakili Alumni Diploma Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) 1989-1992.

Turut hadir, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik (HEA) UiTM Perlis,  Prof. Ts. Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan, Prof. Madya Dr. Azrul Abdullah, Koordinator Jaringan Industri dan Alumni ICAN, Dr. Tajul Rosli Razak, Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan, Mohd. Ismail Abdul Rahim, para pensyarah serta lima pelajar Diploma Sistem Maklumat Perakaunan.

Sementara itu, Dr. Mohd. Azlan dalam ucapannya berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan kehadiran semua alumni.

“Ini adalah bukti wujudnya jalinan kesepakatan, keserakanan dan kebersamaan yang kuat antara pihak UiTM Cawangan Perlis sebagai ‘alma mater’ dan barisan alumni,” katanya.

Tambah beliau, alumni merupakan antara aset dan sumber masa depan sesebuah universiti.

Dr. Mohd Azlan berkata, walaupun sudah jauh mengembara mencari peluang dan ruang, segala jasa bakti pendidik dan universiti yang mendidik tidak seharusnya dilupakan.

“Jalinan ukhuwah yang kukuh antara alumni dan UiTM Cawangan Perlis tentunya dapat membantu dalam pemerkasaan pembangunan intelektual mahupun fizikal universiti ini dengan lebih komprehensif,” katanya.

Sementara itu, kumpulan alumni ini juga berkesempatan dibawa melawat sekitar kampus UiTM termasuk Anjung Siswa, Bangunan HEA, HEP (Tugu I love UiTM) dan Kandang Rusa.

Sebelum pulang, rombongan alumni ini juga berkunjung ke Pasar Terapung Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan menikmati makan tengah hari di Restoran Anjung Keli. – SM

(Visited 910 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button