Nasionalpilihan

Operasi SAR cari anggota komando lemas ditangguhkan

Selepas seminggu operasi mencari dan menyelamat melibatkan seorang anggota Tentera Darat, Lans Koperal Edrin Daintin, 25, yang dikhuatiri lemas di perairan Pulau Undan di sini sejak Selasa lalu ditangguhkan hari ini.

Pengarah Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, SAR ditangguhkan berikutan tidak ada petunjuk dan tanda-tanda penemuan baharu ditemui walaupun mendapat bantuan daripada pelbagai agensi.

Menurutnya, pelbagai usaha lain turut dilakukan termasuk penggunaan SONAR oleh Tim Ukur Medan dari Cawangan Operasi dan Persempadan, Pusat Hidrografi Nasional (PHN) bagi mengesan objek di dalam air setelah pencarian di permukaan air tidak memberikan apa-apa petunjuk.

“Pencarian di dalam air turut dibantu anggota Pasukan Selam Peperangan Khusus dari Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, Melaka, Pasukan Selam Ranjau KD Duyong dan juga Pasukan Penyelam Penyelamat APMM namun tiada penemuan walaupun selaman dilakukan lebih dari 40 meter.

“Selain itu pihak Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC) Putrajaya turut mendapatkan bantuan dari Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (BASARNAS), Indonesia.

“Berdasarkan data dan maklumat Search and Rescue Optimal Planning System (SAROPS) terdapat kemungkinan mangsa telah dihanyutkan
ke perairan negara jiran namun tiada laporan yang diterima setakat ini dari agensi tersebut,” ujarnya dalam satu kenyataan lewat malam ini.

Justeru Iskandar berkata, SAR yang masuk hari ketujuh hari ini ditangguhkan tetapi aset-aset maritim dan agensi lain akan meneruskan rutin rondaan seperti biasa dan pihak Maritim Malaysia akan memberi makluman dari semasa ke semasa sekiranya terdapat petunjuk atau penemuan terbaru.

Menurutnya, Maritim mengucapkan terima kasih kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan komuniti nelayan atas kerjasama yang diberikan.

Beliau berkata, SAR melibatkan seramai 510 anggota dan sebanyak 22 aset telah diatur gerak terdiri daripada 18 aset di laut dan empat aset di udara dengan luas sektor pencarian lebih kurang 1040 kilometer persegi.

Pada 7 Februari lalu Edrin yang juga seorang pelatih penyelam anggota tentera darat dipercayai

lemas sewaktu menjalani latihan selaman di Pulau Undan, Merlimau, Melaka. – SM

(Visited 176 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button