Politik

Melayu… kau hendak ke mana?

SELAGI parti-parti Melayu di negara ini masih dengan jalan masing-masing – tidak bersatu – Melayu takkan ke mana. Wal hasil balik asal.

Kita tolak sementara bab ekonomi, cuba yang satu teramat penting ini dulu – penyatuan bangsa Melayu dalam politik.

Insya-Allah, Suara Merdeka cukup yakin ia pasti menjadikan rumpun bangsa ini lebih kuat dan disegani bangsa-bangsa lain. Seterusnya memberi impak kestabilan untuk keharmonian kaum, politik dan ekonomi.

Kalau ikut analisis mudah tempoh hari, andai Pas-UMNO berkompromi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu dengan tidak menjadikan persaingan ke tiga penjuru menghadapi Pakatan Harapan, barangkali sekurang-kurangnya 26 kerusi Parlimen milik UMNO terselamat.

Daripada 88 kerusi Parlimen UMNO yang diraih 9 Mei 2018, menyusut ke 54 selepas pilihan raya umum itu, seterusnya kini tinggal berapa? Boleh sesiapa tolong kirakan.

Hakikatnya bukan hendak `menyelamatkan’ parti Melayu tertentu isunya di sini tetapi gambaran lebih makro, survival orang Melayu di tanah air ini.

Adakah Pas sebagai penentu survivalnya? Pun bukan barangkali, tetapi setidak-tidaknya Pas terbukti ada pengaruh, pengundi dan penyokongnya, sehingga menguasai 18 kerusi Parlimen dan dua negeri seperti UMNO.

Demi masa depan orang Melayu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, UMNO, PKR dan Amanah mesti duduk berbincang secara terbuka bersama.

Masing-masing mesti menunjukkan keikhlasan bersama. Jangan sekadar pemimpin peringkat tertinggi sahaja mengambil inisiatif itu. Pengikut, penyokong dan ahli parti masing-masing mesti dimaklum dan diperjelaskan tujuannya.

Cuma satu sahaja masalah besar di sini, bukan sahaja sekadar dihadapi Pas dan UMNO tetapi semua parti Melayu, iaitu orang Melayu ini apabila berpolitik terlampau sangat berparti. Orang bukan Melayu berpolitik atas nama bangsa dan tahu sasaran mereka, tetapi Melayu, alahai!

Lihatlah berapa banyak parti Melayu yang tumbuh bak cendawan lepas hujan. Dari UMNO, muncul PKR dan Bersatu, dari Pas, muncul Amanah dan terbaharu, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia atau Putra.

Sebab itu kita orang Melayu cukup terkesan dan kalau boleh mahu kambus terus `isu Melayu yang sini tak kena, sana pun tak kena’.

Tengah malam tadi, waktu Suara Merdeka sedang fikirkan nasib orang Melayu
di sisi isu yang lebih besar menghantui diri – kos sara hidup hari ini – terkesan akan pesanan Timbalan Yang Dipertua Agung Pas, Allahyarham Prof. Zulkiflee Muhammad (1927-1964) di google.

Mesejnya berkisar perangai buruk yang jauh dari sifat rahmah yang harus ditolak oleh bangsa untuk kita orang Melayu jadikan iktibar. Mari kita sama-sama renungkan:

Beriman di mulut hati berlumut.
Beriman di lidah hati menyalah.
Lidah bercabang langkah menyilang.
Tamak harta mabuk dunia.
Lupa bangsa lupa akhirat.

Kemaruk puji lupa diri.
Ke tengah memfitnah ke tepi mendengki.
Ke laut menghasut ke darat mengumpat.
Ke hulu menipu ke hilir menyindir.
Ke atas mengampu ke bawah melapah.
Ke gunung menyombong.
Ke lurah menyumpah.

Berkawan dengan setan.
Berguru dengan nafsu.
Beraja pada selera.
Bersahabat pada maksiat.

Dalam musyawarah berbantah-bantah.
Dalam berunding tuding menuding.
Dalam helah cacat mencacat.
Sesama keluarga laga melaga.
Sesama kawan makan memakan.
Sesama sahabat sebat menyebat.
Sesama bangsa paksa memaksa.- SM

(Visited 271 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button