Bola Sepak

Melaka United terus tagih khidmat Safiq Rahim

KHIDMAT  bekas kapten negara, Safiq Rahim terus ditagih Melaka United, bagi membantu pasukan negeri Hang Tuah itu untuk satu musim lagi bagi mengharungi saingan Liga Super musim 2020.

Pemain tengah itu mengikat kontrak semusim, bersama skuad Sang Kancil dalam satu majlis yang turut disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li.

Safiq yang ditemui Bernama berkata persetujuan itu dicapai, selepas rundingan selama seminggu bersama persatuan berkenaan, untuk beliau terus menyarung jersi Melaka United.

“Syukur Alhamdulillah, hari ini saya masih bersama pasukan, selepas sama-sama berbincang dan memilih untuk bersama pasukan ini bagi musim depan.

“Saya percaya dengan pembaharuan yang ada dalam pasukan ini, selain barisan pemain yang dibentuk ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan, Melaka United akan mampu menyerlah dalam saingan Liga Super akan datang, dan secara peribadi saya akan memberikan yang terbaik,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Damian berkata berkata kredibiliti dan pengalaman luas yang dimiliki pemain itu, diperlukan skuad bimbingan Zainal untuk membantu pasukan bersaing dengan pasukan lain.

“Kami telah tawar menawar mengenai hal gaji dan beliau faham dengan keadaan kewangan pasukan ini, tetapi saya sangat suka dengan cara Safiq yang mempunyai semangat tinggi, dalam sukan bola sepak.

“Beliau juga akan menjadi kapten musim depan mengantikan Shukor Adan, yang memilih untuk tidak lagi bersama Melaka United,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, bagi kuota pemain import Asia Tenggara, skuad Sang Kancil juga turut terpaksa melupakan khidmat pemain kebangsaan Filipina Patrick Reichelt, yang mengesahkan beliau telah menandatangani kontrak bersama kelab di Thailand.

“Kita sememangnya mahu mengekalkan beliau berdasarkan prestasi yang ditunjukkan, namun menerima keputusan beliau dan untuk mengantikan tempatnya kita masih lagi mencari pemain, tetapi jika boleh kita mahu mereka yang pernah beraksi di Liga Malaysia,” katanya.

Tambahnya, sekurang-kurangnya dua pemain dari Johor Darul Ta’zim (JDT) turut berada dalam radar Melaka United, salah seorangnya dijangka berada dalam posisi serangan.

Safiq sebelum ini bersama Melaka United sejak musim 2019 dan membantu skuad Sang Kancil berada di tangga keenam Liga Super. – BERNAMA

(Visited 96 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button