Rencana

Kendiri tangani penularan wabak COVID-19

ESOK kebanyakan sektor telah dibenarkan oleh kerajaan untuk beroperasi di bawah SOP yang ditetapkan mengikut Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Kerajaan mengambil langkah itu demi memastikan rakyat dapat perlahan-lahan memulakan kegiatan yang mampu menjana pendapatan dan telah terhenti lebih sebulan.

Ramai yang masih tidak yakin dengan langkah itu kerana bimbang akan menyebabkan wabak COVID-19 tular kembali.

Secara asas kebanyakan orang telah memahami langkah yang perlu diambil untuk memutuskan rantaian penularan iaitu dengan menjaga kebersihan, memakai topeng muka serta mengamalkan penjarakan sosial.

Pokoknya semua pihak perlu mempunyai kemahiran menguruskan diri sendiri atau kendiri. Jika merasakan lokasi yang hendak dituju tidak menjamin keselamatan, kita perlu membuat keputusan bijak mengelaknya.

Kerajaan tidak boleh terus menutup semua sektor ekonomi negara ini selama-selamanya hingga virus berkenaan benar-benar tiada dan vaksin ditemui yang dijangka akan hanya dapat dihasilkan serta sampai ke tangan umum kira-kira dua tahun lagi.

Jika kita merasakan tidak selamat untuk membawa anak kecil atau warga emas yang berisiko maka jangan bawa atau pergi ke lokasi berisiko jangkitan.

Kita juga tahu sejak PKP dikenakan tiada perhimpunan dibenarkan dan ia kekal sedemikian.

Oleh itu kita tidak seharusnya melanggar peraturan berkenaan kerana ia meletakkan diri sendiri di dalam risiko.

Statistik memang tidak memberangsang kerana jumlah kes baharu belum lagi digit yang kecil.

Kerajaan pula pada masa yang sama perlu terus memantau dengan ketat situasi selepas PKPB dilaksanakan bagi memastikan tiada letusan jangkitan wabak.

Wabak ini akan terus berada di sekitar kita untuk tempoh yang lama sehinggalah vaksin ditemui.

Oleh itu setiap kita tidak boleh mengambil mudah dengan soal kebersihan dan aspek lain dalam memutuskan rantaian jangkitan. – SM

(Visited 96 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button