Ekonomi

SME Bank serah dana fasilitasi RM847,407 kepada 5 usahawan Negeri Sembilan

SMALL Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) hari ini telah menyerahkan replika cek bernilai RM847,407 kepada lima orang usahawan dari Negeri Sembilan bersempena Program Jelajah Usahawan dan Koperasi Madani (PJUKM) KUSKOP @ NS Fest yang diadakan di Nilai, Negeri Sembilan.

Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim berkata, “Kelima-lima usahawan ini merupakan peserta bagi dua program intervensi berstruktur SME Bank iaitu Business Exports Program (BEP) dan Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor (PPKV).

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melantik SME Bank sebagai agensi pelaksana untuk kedua-dua inisiatif pembangunan usahawan ini.”

BEP yang bertujuan untuk membimbing syarikat PKS agar bersedia untuk meneroka pasaran eksport. Tambah Datuk Dr. Hardee, “Tiga buah syarikat di bawah Program BEP telah menerima dana fasilitasi bernilai RM200,000 setiap satu sebagai sokongan monetari untuk mempersiapkan mereka menjadi jaguh serantau di persada antarabangsa. Ketiga-tiga syarikat ini adalah dari industri pembuatan dan penyedia perkhidmatan.”

Dua buah syarikat lagi yang masing-masing menerima dana fasilitasi bernilai RM200,000 dan RM47,407 pula merupakan vendor Bumiputera yang berdaftar dengan syarikat anchor di bawah Program Pembangunan Kapasiti Vendor, inisiatif seliaan KUSKOP.

Mereka telah terpilih untuk menyertai sesi bimbingan bagi memperkasa kapasiti dan keupayaan syarikat Vendor dalam membekalkan produk serta perkhidmatan yang bermutu tinggi dan kompetitif di pasaran.

Sewaktu Program Jelajah ini berlangsung, anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn. Bhd. (CEDAR) juga telah menganjurkan sesi taklimat Program Bantuan Pematuhan Pensijilan Halal untuk 40 buah syarikat dari sekitar Negeri Sembilan dan Selangor.

Datuk Dr. Hardee menyatakan bahawa modul program yang lengkap ini akan mendedahkan usahawan tentang konsep dan kepentingan sijil halal, prosedur pensijilan serta membantu mereka menyediakan dokumentasi bagi permohonan pensijilan halal.

Program kolaborasi antara KUSKOP dengan CEDAR ini menyasarkan agar dapat memanfaatkan 120 buah syarikat PKS tentang kesedaran halal dan 40 buah syarikat untuk memohon pensijilan halal.

Dengan adanya pensijilan halal ini, PKS boleh memanfaatkan segmen pasaran yang lebih luas terutamanya ketika permintaan pengguna yang meningkat untuk produk dan perkhidmatan halal. Pensijilan halal ini juga berfungsi sebagai akses untuk mengembangkan pangkalan pelanggan dan meneroka peluang perniagaan baharu di dalam mahupun di luar negara.

Majlis penyerahan replika cek kepada lima orang usahawan sewaktu Program Jelajah Usahawan dan Koperasi Madani (PJUKM) KUSKOP @ NS Fest, Negeri Sembilan ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick, dan disaksikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YB Dato’ Seri Aminuddin Harun. – SM 

Artikel berkaitan > SME Bank sambut Ulang Tahun Ke-10 CEDAR

(Visited 221 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button