Nasional

81 rakyat Malaysia terkandas di Sri Lanka dijangka tiba esok

SEJUMLAH 81 rakyat Malaysia yang terkandas di Sri Lanka dijangka pulang ke tanah air esok, demikian menurut Kementerian Luar.

Wisma Putra berkata persetujuan ini dicapai semasa perbualan telefon antara menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawat beliau dari Sri Lanka, Dinesh Gunawardena, petang tadi.

“Menteri Luar Malaysia menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Sri Lanka kerana memberikan kebenaran kepada pesawat Malindo Air untuk mendarat di Colombo bagi membawa pulang 81 rakyat negara ini yang terkandas dari Sri Lanka, yang dijadualkan pada 14 April (esok).

“Dalam maklum balasnya, Menteri Hubungan Luar Sri Lanka itu turut menzahirkan penghargaan beliau kepada Kerajaan Malaysia kerana membenarkan pesawat sama membawa dua kit perubatan ke negara tersebut yang dibeli oleh Kerajaan Sri Lanka,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Wisma Putra hari ini.

Menurut Wisma Putra, Hishammuddin berkata tindakan segera Kerajaan Sri Lanka dalam menghulurkan bantuan kepada Malaysia merupakan bukti hubungan mesra dan erat yang terjalin antara kedua-dua negara.

Selain itu, kedua-dua menteri membincangkan isu hubungan dua hala dan kerjasama rapat antara Malaysia dan Sri Lanka yang disusuli dengan bertukar-tukar pandangan mengenai pandemik COVID-19.

“Sebelum perbualan telefon itu berakhir, kedua-dua menteri mengulangi komitmen masing-masing dalam memupuk hubungan dua hala dan kerjasama yang lebih erat antara Malaysia dan Sri Lanka,” katanya.

Terdahulu, Hishammuddin turut mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari India Dr S. Jaishankar bagi membincangkan pandemik COVID-19 dan isu rakyat Malaysia yang terkandas di negara itu.

“Menteri Luar Malaysia telah menzahirkan penghargaan beliau kepada Kerajaan India kerana membenarkan 18 penerbangan memasuki negara itu bagi membawa pulang 2,876 rakyat negara ini yang terkandas dari India. Satu lagi penerbangan ke Chennai dijadualkan pada 14 April (esok).

“Kedua-dua menteri turut membincangkan persediaan yang dibuat bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih dikuarantin di India sebaik sahaja tempoh itu berakhir,” katanya.

Wisma Putra berkata semasa perbualan telefon itu, kedua-dua menteri telah menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Malaysia dan India atas bantuan yang dihulurkan pada masa yang mencabar ini, terutama kepada diaspora masing-masing yang menetap di Malaysia dan India.

“Mereka juga bersetuju bahawa adalah penting bagi Malaysia dan India berganding bahu dalam usaha membendung penularan virus itu.

“Mereka mengulangi komitmen masing-masing untuk mengatasi pandemik itu demi kepentingan kedua-dua negara serta komuniti global,” kata Wisma Putra.

Selain itu, kedua-dua menteri berkongsi sentimen mengenai hubungan dua hala dan perkongsian strategik yang terjalin sekian lama antara Malaysia dan India serta hubungan rakyat dengan rakyat sejak sebelum kemerdekaan kedua-dua negara. – BERNAMA

(Visited 42 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button