Politik

Melaka: Najib kecewa, PRN patut ditangguh

Tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menumbangkan Kerajaan Negeri amat mengecewakan.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masalah dalaman yang berlaku sepatutnya boleh dielakkan.

“Amat kecewa dengan dua ADUN UMNO, seorang ADUN PPBM dan seorang ADUN bekas DAP yang tumbangkan kerajaan negeri Melaka.

“Situasi ini boleh dielak dan diselesaikan secara dalaman. Tetapi kini sudah terlambat,” kata Ahli Parlimen Pekan itu dalam satu kenyataan.

Najib berpendapat Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka patut ditangguhkan.

Beliau mengambil contoh PRN Sarawak yang sepatutnya diadakan selepas DUN Sarawak terbubar secara automatik Jun lalu dan ditangguhkan selepas Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat di negeri itu sehingga 2 Februari tahun depan sekali gus menggantung PRN daripada diadakan dalam tempoh berkenaan.

“Dengan mengambil kira bahawa ekonomi Melaka baru sahaja mula dibuka semula selepas PKP berganti PKP separuh masak yang begitu lama, pendapat saya ialah PRN Melaka patut ditangguh sebagaimana PRN Sarawak ditangguh setelah DUN Sarawak terbubar secara automatik pada 7 Jun 2021 lalu,” katanya.

Melaka akan berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri selepas Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pembubaran tersebut dibuat atas cadangan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali selepas beliau kehilangan majoriti apabila empat ADUN menyatakan tidak lagi percaya kepada kepimpinan beliau.

Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas).

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 14 kerusi dipegang BN, Bersatu (dua), DAP (tujuh), PKR (dua), Amanah (dua) dan Bebas (satu).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya di Melaka selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan bubar.

Setiausahanya, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya menerima makluman rasmi daripada Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berhubung perkara berkenaan sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

“Berdasarkan Fasal (4) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka berkehendakkan suatu pilihan raya hendaklah diadakan dalam tempoh 60 dari tarikh pembubaran DUN tersebut.

“Justeru, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut. Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.-SM

(Visited 331 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button