Ekonomi

Mei Han dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Certified

Carsome, platform kereta e-dagang bersepadu terbesar di Asia Tenggara, telah melantik Mei Han sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Carsome Certified,

Carsome Certified adalah cabang perniagaan-ke-pengguna (B2C) di bawah kumpulan Carsome.

Mei mempunyai pengalaman industri yang luas, di mana beliau telah berkhidmat dalam industri automotif sepanjang 10 tahun yang lalu.

Beliau juga pernah berkhidmat dalam industri kewangan di China, khususnya dalam bidang modal teroka dan perbankan pelaburan.

Sebelum pelantikan ini, Mei merupakan Pengarah Strategi Platform di Carsome yang bertanggungjawab atas pembangunan produk dan perisikan perniagaan.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata, pelantikan Mei penting bagi merealisasikan visi Carsome yang lebih besar, iaitu mengembangkan Carsome Certified di Asia Tenggara.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada proses pertumbuhan Carsome, di mana tumpuan syarikat adalah terhadap pengembangan secara vertikal daripada model pengguna-ke-perniagaan (C2B) kepada B2C pada tahun 2021.

“Peranan baharu Mei Han akan selanjutnya menjadi pemangkin kepada pecutan pertumbuhan Carsome tahun ini. Saya yakin pengalaman beliau yang luas akan dapat membantu kami dalam memberikan pandangan yang lebih holistik mengenai permintaan pengguna dalam norma baharu ini, di samping mengukuhkan lagi pasukan kepimpinan kami untuk memacu pertumbuhan serantau,” kata Cheng.

Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Certified, Mei akan memberikan tumpuan ke arah  menyepadukan dan mempertingkatkan pengalaman pengguna secara dalam talian dan di luar talian menerusi keupayaan produk, teknologi dan data Carsome.

Beliau menyasarkan untuk membangunkan Carsome Certified sebagai platform e-dagang yang mantap di samping menyediakan tawaran nilai terbaik kepada pengguna, dengan bantuan lantikan baharu yang lain, termasuk Pengarah Operasi Carsome Certified, Yuan Li Yu dan Pengurus Besar Carsome Certified Malaysia, Alan Cheah.

“Carsome kini menerajui pertumbuhan industri kereta terpakai yang pesat di Asia Tenggara dan juga telah mengubah tanggapan terhadap penjualan dan pembelian kereta terpakai, daripada proses yang sering dianggap mencurigakan kepada pengalaman yang telus dan mudah.

“Kami berada di kedudukan yang terbaik untuk menyepadukan proses yang dilalui oleh pengguna serta membawakan penyelesaian yang bermakna dan impak yang positif.

“Saya berasa teruja untuk meningkatkan pertumbuhan Carsome menerusi pengembangan Carsome Certified, pada masa yang sama memperkenalkan pengalaman pembelian kereta terpakai yang lebih baik di rantau ini,” kata Mei.

Carsome Certified memberikan pengguna pengalaman membeli kereta terpakai yang menyenangkan dan terjamin kualitinya. Setelah pelancarannya sebagai The New Way of Buying Cars di Kelana Jaya, Malaysia pada Ogos 2020, Carsome telah membuka dua lagi pusat Carsome Certified di Petaling Jaya dan Cheras. Dalam pada itu, tujuh lagi cawangan sedang dalam perancangan untuk dikembangkan di seluruh negara.

Bersandarkan kepada kejayaannya di Malaysia, Carsome Certified akan mula diperkenalkan di Indonesia dan Thailand pada bulan depan. Dalam suku yang akan datang, Mei akan menumpukan usahanya kepada pengukuhan keupayaan serantau Carsome Certified menerusi kecemerlangan operasi, serta kerjasama dengan platform e-dagang terkemuka di negara-negara di mana Carsome Certified beroperasi.

Memandangkan permintaan dan bekalan di pasaran kereta terpakai yang kian meningkat, pengembangan Carsome Certified mengukuhkan lagi kedudukan Carsome sebagai penyedia penyelesaian sehenti yang menawarkan perkhidmatan hujung ke hujung yang komprehensif kepada pengguna yang meliputi penjualan dan pembelian kereta terpakai.

“Kami telah mara setapak lagi untuk membangunkan sebuah ekosistem kereta terpakai yang lengkap. Kami berasa teruja kerana ini akan membuka lebih banyak peluang usaha sama dalam industri teknologi automotif sedang kami meneruskan pertumbuhan perniagaan ini,” tambah Cheng lagi.-SM

(Visited 301 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button