Sukan

Megat D Shahriman lepas jawatan Presiden Persatuan Kanu Malaysia

DESAKAN dalaman yang dihadapi dalam Persatuan Kanu Malaysia (MASCA) akhirnya menyaksikan Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin melepaskakan jawatan yang disandangnya itu.

Jika mengikut lantikan jawatan, Megat sepatutnya memegang jawatan sebagai Presiden persatuan bagi sesi 2018/2021 iaitu sehingga tahun depan.

Sebelum ini, ura-ura menyebut bahawa Megat akan melepaskan jawatan tersebut dan hari ini, beliau mengotakan janjinya apabila melepaskan jawatan itu.

BERNAMA melaporkan, peletakan jawatan sebagai Presiden MASCA diumumkan oleh Megat menerusi kenyatana media.

Alasan diberikan mengapa beliau melepaskan jawatan itu ekoran susulan pelbagai faktor serta dipercayai akibat menerima desakan dalaman dalam persatuan.

“Faktor tidak sependapat dan kegagalan mencapai kata sepakat dalam pelbagai perkara menyebabkan hubungan antara saya dan exco retak.

“Sebelum ini, telah timbul cubaan membuat undi tidak percaya terhadap saya.

“Saya akur dengan tindakan kumpulan itu walaupun kecewa kerana gagal menyelesaikan apa yang dimulakan bersama oleh kami,” katanya.

Antara alasan lain mengapa Megat melepaskan jawatan tersebut adalah disebabkan komitmen tinggi yang perlu diberikan kepada Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) setelah beliau terpilih sebagai presiden majlis itu bagi penggal 2019-2023.

Beliau berkata, sepanjang memegang jawatan Presiden MASCA, beliau cuba mengangkat imej sukan kanu.

Usaha turut dilakukannya untuk meningkatkan nilai komersial sukan tersebut dan memperbaiki struktur pengurusan persatuan hanya  dalam tempoh setahun.

Selain itu, ratusan ribu ringgit telah dilaburkan Megat untuk menghidupkan semula sukan kanu dengan mengadakan pelbagai aktiviti dan pertandingan bertaraf kebangsaan.

Sebagai contoh, diadakan Kejohanan Sirkit Kebangsaan di Tasik Putrajaya pada April 2019 dan Sesi Akhir Pemilihan Pasukan Kebangsaan di Empangan Teluk Bahang, Pulau Pinang pada Julai 2019.

“Ini antara inisiatif saya bersama exco MASCA bagi memastikan sukan kanu mendapat pengiktirafan untuk diperakui sebagai sukan teras.

“Usaha itu dilakukan setelah sekian lama sukan kanu ini dilihat bergerak sendirian dan hanya menjadi pelengkap kepada kalendar sukan negara tanpa pencapaian memberangsangkan sejak ditubuhkan pada 1983.

“Terima kasih untuk segala-galanya dan ia menjadi satu penghormatan bagi saya untuk berkhidmat kepada MASCA.

“Saya mendoakan agar barisan kepimpinan baharu yang akan mengambil alih MASCA dapat meningkatkan lagi prestasi sukan kanu dan menarik lebih ramai golongan muda di luar sana untuk bergiat aktif dalam sukan ini,” katanya. – SM

(Visited 219 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button