Nasionalpilihan

Keenakan bubur lambuk Bukit Piatu tiada tandingan

Setiap kali menjelang Ramadan, bubur lambuk menjadi antara juadah wajib dicari oleh semua penggemar, khususnya umat Islam yang menunaikan ibadat puasa.

Tidak hairanlah bubur lambuk di Kampung Bukit Piatu, Bukit Baru, Melaka di sini sentiasa dinanti-nanti oleh orang ramai tanpa mengira usia dan bangsa turut singgah untuk mendapatkan juadah tersebut secara percuma.

Pengurus bubur lambuk Bukit Piatu, Baharom Sulaiman, 59, berkata, keenakan bubur lambuk yang disediakan penduduk di situ adalah menggunakan resipi asli bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Penunggang motosikal beratur menunggu untuk mendapatkan bubur lambuk secara percuma di Kampung Bukit Piatu, Bukit Baru, Melaka.

Dia yang sudah 20 tahun menguruskan bubur lambuk itu berkata, resipi itu dipelajari daripada seorang tukang masak awal dikenali arwah Haji Mat sebelum diwarisi rakan yang lain bagi mengekalkan keenakan bubur lambuk ini.

“Sudah hampir 26 tahun bubur lambuk Kampung Bukit Piatu masih mengekalkan tradisi mengagih-agihkan kepada seluruh masyarakat yang lalu di sini.

“Tahun ini kita berubah tempat mengagihkan bubur lambuk bukan lagi di selekoh sebaliknya di tempat yang cukup selesa dan selamat kepada orang ramai untuk mengambil juadah secara pandu lalu.

“Kali ini kita gunakan empat periuk besar dan bukan tiga seperti sebelum ini bagi menampung permintaan yang banyak pada tahun ini,” ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Baharom berkata, bubur lambuk mula dimasak kira-kira pukul 7.00 pagi menggunakan 90 kilogram (kg) beras, 16 kg daging dan 16 kilo santan yang diadun secukup rasa oleh lima tukang masak sukarelawan setempat.

Menurutnya, bubur lambuk jangka siap dimasak sebelum Zohor dan diedarkan kepada seluruh penduduk di sini termasuk dari luar secara pandu lalu.

Katanya, kos menyediakan bubur lambuk sehari bernilai RM1,000 dan dana diperoleh daripada sumbangan penduduk setempat termasuk orang perseorangan dan syarikat-syarikat swasta yang sudi menghulurkan bantuan.

Jelasnya, agihan bubuk lambuk berkenaan akan berlangsung dari satu sehingga 27 Ramadan sahaja bagi membolehkan penduduk terlibat untuk membuat persiapan Aidilfitri di rumah masing-masing pula. – SM

(Visited 306 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button