Nasional

Media perlu lebih banyak dedahkan kejayaan warga luar bandar – Mahdzir

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) berharap media lebih banyak memdedahkan kejayaan penduduk di kawasan luar bandar di negara ini.

Menurut Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid, antara kejayaan yang boleh diketengahkan adalah program Kampung Sejahtera untuk meningkatkan sosio ekonomi penduduk.

“Menerusi program Kampung Sejahtera ini mereka (penduduk luar bandar) mempunyai infrastruktur jalan dan kemudahan internet yang baik serta berkelajuan tinggi.

“Seperti di FELDA pula, kita ada Pusat Internet Desa. Kemudahan internet berkelajuan tinggi adalah asas yang sangat penting untuk menjadi penghubung masyarakat luar bandar.”

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena program Semarak Kasih Ramadan KPLB-Berita Harian di Felda Lubuk Merbau, petang semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, Pengurus Besar Sokongan Jualan dan Pemasaran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dan Pengerusi Masjid Al Barakah, Sharunniza Md Tajuddin.

Datuk Seri Mahdzir Khalid turut menyampaikan sumbangan sempena program Semarak Kasih Ramadan KPLB-Berita Harian di Felda Lubuk Merbau, petang semalam.

Jelas Mahdzir, Program Kampung Sejahtera adalah antara usaha yang sedang dilaksanakan oleh KPLB untuk membawa kesejahteraan kepada penduduk di luar bandar.

KPLB turut menganjurkan satu pertandingan khas bagi memilih Kampung Sejahtera terbaik untuk mewujudkan persaingan dalam kalangan penduduk kampung terlibat.

Baca artikel ini > RUU Anti Lompat Parti perlu – Mahdzir

Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan sumbangan kepada 131 orang asnaf yang terdiri daripada OKU, ibu tunggal dan anak-anak yatim sekitar kawasan Felda Lubuk Merbau.

Sementara itu, lebih 300 penduduk FELDA Lubuk Merbau menghadiri majlis berbuka puasa sempena program Semarak Kasih Ramadan yang berlangsung di perkarangan Masjid Al Barakah, di sini.

Program bermula seawal jam 7 pagi apabila penduduk bersama kakitangan KPLB bergotong-royong menyediakan juadah seperti bubur lambuk, gulai batang pisang dan nasi daging.

Antara program lain yang dianjurkan termasuk Smart Solat untuk kanak-kanak dan agihan bubur lambuk kepada warga Felda Lubuk Merbau. – SM

(Visited 192 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button