Nasional

Media Kecewa Sekatan Akses Liputan oleh KKM, Kelab Media Putrajaya Tuntut Penjelasan

PUTRAJAYA, 5 Julai 2025 – Kelab Media Putrajaya (KMP) menyatakan rasa kecewa terhadap keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak membenarkan sebarang sesi sidang media atau temu ramah diadakan sempena Majlis Perasmian Ekspo Makanan Selamat (eMAS) yang dijadual berlangsung pada 5 Julai 2025 di Alamanda Shopping Centre, Putrajaya.

Menurut kenyataan rasmi KMP, keputusan yang dimaklumkan melalui nota kepada pengarang oleh Unit Komunikasi Korporat KKM pada 4 Julai 2025 itu dianggap sebagai langkah mundur yang menyekat kebebasan media serta menyulitkan tugas wartawan dalam mendapatkan maklumat dan penjelasan lanjut bagi manfaat rakyat.

“Tindakan menyekat ruang wartawan untuk mendapatkan penjelasan atau soalan susulan bukan sahaja menyukarkan kerja liputan, malah dilihat sebagai cubaan menutup ruang akauntabiliti pihak KKM kepada rakyat,” tegas KMP dalam kenyataan media tersebut.

KMP juga menegaskan bahawa tindakan sebegini tidak pernah diamalkan sebelum ini, dan dilihat sebagai satu bentuk sekatan tidak langsung terhadap kebebasan media, khususnya dalam isu-isu kesihatan awam yang kritikal.

Dalam nota pengarang yang diedarkan oleh KKM, dinyatakan secara jelas bahawa majlis perasmian “TIDAK termasuk sesi sidang media atau temu ramah (jolok)”, sebaliknya liputan media hanya difokuskan kepada rakaman acara utama dan siaran media rasmi oleh pihak kementerian.

Susulan itu, KMP menuntut penjelasan lanjut dan terperinci daripada KKM berhubung justifikasi larangan tersebut, khususnya dalam situasi rakyat amat memerlukan maklumat yang tepat dan telus berkaitan dasar-dasar kesihatan awam.

“Pendekatan ini amat mengecewakan dan tidak mencerminkan semangat keterbukaan yang sepatutnya diamalkan oleh sebuah kementerian yang berkhidmat untuk rakyat,” tambah kenyataan itu.

Setakat kenyataan ini dikeluarkan, KMP turut memaklumkan bahawa tiada jemputan baharu tanpa sekatan akan dipertimbangkan selagi isu ini tidak diselesaikan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button