Ekonomi

MDEC umum pemenang #CikguJuaraDigital 2022

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) baru-baru ini mengumumkan pemenang #CikguJuaraDigital (#CJD) 2022, iaitu program meraikan golongan pendidik di Malaysia yang telah memberi sumbangan besar kepada sistem pendidikan dengan memanfaatkan platform digital.

Bagi edisi tahun ini, sebanyak 578 permohonan telah diterima dan seramai 50 orang pendidik berinspirasi telah dikenal pasti sebagai #CJD. Menerusi kerjasama dengan Pejabat Pendidikan Negeri di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, seramai tiga individu telah dipilih sebagai pemenang bagi tiga kategori utama iaitu Juara Prasekolah, Juara Cikgu dan Juara Pentadbir.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata pandemik COVID-19 telah mempercepatkan inovasi dan transformasi digital bukan sahaja dalam sektor perniagaan, malah turut melibatkan sistem pendidikan tempatan.

“Kami sangat berbangga dengan penyertaan yang amat menggalakkan pada tahun ini, iaitu lebih 500 orang guru dari seluruh negara telah menghantar permohonan serta menyatakan aspirasi mereka untuk terus menginovasi sistem pendidikan melalui penggunaan platform digital.

“Kaedah dan penyampaian pendidikan secara digital telah menjadi contoh terbaik dan ia benar-benar menjadi sumber inspirasi untuk seluruh Keluarga Malaysia. Justeru, MDEC komited untuk terus menyokong transformasi digital sistem pendidikan kita yang bukan sahaja penting untuk kestabilan masa depan, malah untuk terus mewujudkan tenaga kerja dan bakat berkemahiran digital,” tambah Mahadhir.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz

#CJD yang diperkenalkan pada tahun 2019 di bawah inisiatif #mydigitalmaker menyasarkan untuk menyokong dan mengiktiraf pencapaian golongan pendidik yang melakukan anjakan paradigma dengan mengintegrasikan teknologi digital ke dalam sistem pendidikan negara.

Selain itu, #CJD juga merupakan program gerakan akademik melalui kerjasama awam-swasta bagi mewujudkan negara peneraju pembuatan digital dengan mentransformasikan anak muda daripada pengguna digital kepada pengeluar digital.

Guru kelahiran Kelantan, Cikgu Adillah Mansor telah dipilih sebagai pemenang pertama untuk kategori Juara Prasekolah. Beliau yang ketika ini berkhidmat di Sekolah Kebangsaan Ketereh, Kelantan, mempunyai pengalaman lebih 17 tahun dan telah memenangi anugerah Guru Cemerlang Prasekolah dari Kementerian Pendidikan Malaysia, sejak 2011.

“Menyedari cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa, saya telah mengintegrasikan pembelajaran berasaskan permainan seperti Kahoot!, Quizziz, Wordwall dan Liveworksheets untuk meningkatkan motivasi pelajar untuk aktif semasa kelas dalam talian,” kata Cikgu Adillah.

Sementara itu, Cikgu Ainulmursyida Shamsudin yang merupakan guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Orkid Desa, Kuala Lumpur telah dipilih sebagai pemenang Cikgu Juara atas usaha beliau membangunkan minat pelajar menerusi platform media sosial seperti YouTube serta mengintegrasikan bahan interaktif dalam kaedah pengajarannya untuk meningkatkan penyertaan pelajar.

“Pandemik telah membuka mata saya untuk mencuba pedagogi dan persekitaran pembelajaran alternatif, terutamanya apabila pembelajaran fizikal di bilik darjah tidak dapat dilaksanakan. Saya mendapati 90 peratus pelajar saya telah berinteraksi secara aktif semasa kelas dalam talian,” kata Cikgu Ainulmursyida.

Kategori seterusnya adalah bagi menghargai peneraju dalam sistem sekolah yang telah dimenangi oleh Cikgu Mohd Nazri Muhammad, Pengetua SMK Mulong di Kota Bharu, Kelantan. Beliau percaya bahawa guru dan pelajar perlu dilengkapi dengan infrastruktur digital yang lengkap dalam usaha memastikan pengalaman pembelajaran dalam talian yang lebih berkesan.

“Ketika pandemik berlaku, saya telah turun ke lapangan untuk memastikan sesi persekolahan boleh diteruskan semasa Kementerian memperkenalkan kaedah pembelajaran dalam talian. Guru-guru kita telah memperkenalkan pelbagai kaedah agar kurikulum persekolahan dapat dilaksanakan dengan efektif,” tambah beliau lagi.

Maklumat lanjut mengenai #CikguJuaraDigital 2022, boleh didapati melalui laman web mdec.my/mydigitalmaker/cikgu-juara-digital/. – SM

(Visited 246 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button