Ekonomi

MDEC Tawar Sehingga RM23,600 untuk Menggaji Rakyat Malaysia yang Menganggur dalam Sektor Pekerjaan Digital

MALAYSIA Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara, hari ini mengumumkan  pPenambahbaikan program insentif pengambilan dan latihan pekerja, MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWiT) untuk membantu mempercepatkan latihan semula dan penempatan bagi rakyat Malaysia yang menganggur dalam sektor pekerjaan berkaitan teknologi digital dan perkhidmatan digital.

Diperkenalkan di bawah Kumpulan Wang Covid-19, program subsidi ini melibatkan dana sebanyak RM100 juta daripada Kementerian Kewangan (MoF) untuk menyokong Gerakan #MyDigitalWorkforce MDEC.

Ia bertujuan untuk memberi insentif kepada majikan yang menggaji warga Malaysia yang menganggur melalui latihan dan subsidi upah.

“Percanggahan antara kemahiran yang dicari oleh majikan dan kemahiran sedia ada yang dimiliki oleh tenaga kerja tempatan ialah isu penting yang harus ditangani jika kita mahu berkembang maju dalam ekonomi digital.

Segala usaha perlu memberi tumpuan dalam menangani isu ketidakpadanan bakat dan kemahiran. Oleh itu, insentif MYWiT ini telah menekankan pembangunan bakat melalui program kemahiran semula dan peningkatan kemahiran.

“Matlamat utama program MYWiT dalam merapatkan jurang kemahiran dan isu-isu lain dalam tenaga kerja tempatan adalah penting dan kami berusaha untuk merealisasikan matlamat Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang diumumkan baru-baru ini,” Mahadhir Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif, MDEC.

MYWiT disasarkan kepada syarikat yang menawarkan pekerjaan digital yang mempunyai permintaan tinggi di kalangan rakyat Malaysia yang menganggur, sejajar dengan matlamat nasional untuk mewujudkan 500,000 pekerjaan baharu menjelang 2025 seperti yang digariskan dalam MyDIGITAL.

Dengan penambahbaikan ini, syarikat yang terpilih layak untuk memohon insentif bagi pekerjaan yang ditawarkan bermula 5 April 2021 sehingga 30 April 2022, bagi menggalakkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam ekonomi digital.

Selain daripada itu, MDEC juga telah mempermudah kriteria, proses kelayakan dan struktur insentif serta melonggarkan syarat-syarat kelayakan berdasarkan maklum balas daripada pihak industri bagi membolehkan majikan mempunyai tempoh masa kelulusan yang lebih cepat.

Struktur insentif yang dikemas kini ini juga meliputi 40 peratus daripada gaji bulanan pekerja selama enam bulan (gaji minimum RM2,000) dan dihadkan pada RM2,600 sebulan untuk setiap individu.

Di  samping itu, majikan juga layak menerima sehingga RM5,000 untuk kursus latihan persendirian bagi setiap individu atau sehingga RM8,000 untuk kursus latihan yang disediakan oleh syarikat luar.

Majikan juga berpeluang memperoleh insentif bernilai sehingga RM23,600 bagi setiap individu yang digaji dan dilatih.

Bagi memastikan setiap pekerja dilengkapi dengan program latihan yang berkualiti, majikan perlu memilih program latihan yang disediakan oleh MDEC melalui Buku Panduan Latihan Kemahiran Digital jika tidak memilih untuk menyediakan kursus latihan persendirian.

Kursus yang disenaraikan dalam buku panduan ini telah disahkan dan disokong oleh pengamal industri teknologi digital dan juga selaras dengan Rangka Kerja Kemahiran Industri Teknologi Digital nasional.

Buku Panduan Latihan Kemahiran Digital ketika ini, menyenaraikan lebih daripada 300 kursus dalam bidang Teknologi Kewangan, sains data, keselamatan siber, pembangunan perisian, pembangunan permainan, animasi dan perkhidmatan perniagaan digital global.

Syarikat yang mengambil bahagian perlu menawarkan pekerjaan selama 12 bulan minimum kepada warganegara Malaysia yang menganggur, termasuk graduan baharu, pekerja yang diberhentikan atau mereka yang telah menganggur lebih daripada dua bulan.

Pelbagai pekerjaan yang memerlukan kemahiran teknologi digital serta pekerjaan yang menyokong perkhidmatan perniagaan global layak untuk menerima insentif ini seperti pembangun perisian,
penganalisis keselamatan siber, saintis data, pengendali kandungan, perkhidmatan pelanggan dan
banyak lagi.

“Pandemik telah memberi tumpuan kepada peralihan dalam pendigitalan ekonomi. Amat penting kepada pasaran pekerjaan untuk membuat perubahan berimpak tinggi dengan menggunakan semua sumber yang ada bagi menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar dan pemimpin digital.

“MDEC menyedari kepentingan untuk membangunkan bakat digital yang konsisten iaitu dalam jangka masa pendek untuk membantu pemulihan ekonomi negara dan dalam jangka masa panjang, untuk menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN,” kata Dr. Sumitra Nair, Ketua Pegawai Kemahiran Digital dan Kerjaya,  MDEC.

MYWiT ialah program lanjutan daripada Gerakan #MyDigitalWorkforce MDEC, yang telah dilancarkan pada tahun 2020 untuk merancakkan program latihan semula dan peningkatan kemahiran dalam pasaran pekerjaan  domestik.

MDEC telah melaksanakan beberapa program termasuk Buku Panduan Latihan Kemahiran Digital, Global Online Workforce (GLOW) dan Go-eCommerce untuk merangsang pembangunan bakat serta meluaskan peluang  pendapatan dalam ekonomi digital.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai MYWiT, sila layari https://mdec.my/mywit/.

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button