fbpx
Ekonomi

MDEC, SME Corp bekerjasama bagi penyelesaian keselamatan siber PKS

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) sedang bekerjasama dengan SME Corp bagi program untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melaksanakan penyelesaian keselamatan siber serta menngunakan platform digital dalam persekitaran yang selamat.

Ketua Pegawai Operasi MDEC Datuk Ng Wan Peng berkata aspek keselamatan siber itu adalah antara bidang utama yang perlu diberi penekanan oleh PKS sejajar lonjakan penembusan digitalisasi akibat penularan pandemik COVID-19.

“Sebahagian besar daripada penyelesaian itu telah pun dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan. Justeru, sebahagian besar ketirisan adalah disebabkan oleh manusia dan bukannya sistem.

“Atas alasan inilah kita perlu mewujudkan lebih banyak kesedaran serta mendidik orang ramai bagaimana untuk memastikan akses dan data mereka selamat,” katanya pada sesi panel Sidang Kemuncak Digital PKS (SME Digital Summit) di Putrajaya, hari ini.

Menurut Ng, MDEC juga sentiasa berusaha untuk mengenal pasti keperluan bagi menjadikan aspek keselamatan siber sebahagian daripada pelan masa depan geran digitalisasi PKS.


Dalam perkembangan lain, beliau menggesa PKS untuk menggunakan teknologi digital secara berkesan untuk berkembang serta kelangsungan perniagaan masing-masing dalam masa-masa mencabar berikutan pandemik itu.

“Bagi memacu kemajuan ekonomi, kita perlu mempunyai persekitaran kondusif bagi memastikan perniagaan menggunakan teknologi digital seperti pemasaran digital dan e-pembayaran secara berkesan.

“Jika mereka tidak melakukan pendigitalan itu, sebahagian besar daripada ekonomi akan mendapat kesan negatif,” katanya.

Sidang Kemuncak Digital PKS anjuran MDEC pada 11-13 Ogos itu melibatkan kalangan PKS tempatan, penyedia penyelesaian digital, pihak korporat dan penggiat lain menerusi sesi digital bagi mengenal pasti kaedah praktikal untuk mengharungi perubahan iklim perniagaan dan ekonomi semasa. – BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button