Politik

Dr. Mahathir tidak akan bertanding pada PRU-15

AHLI Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengatakan beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sekiranya ia diadakan mengikut jadual kerana pada ketika PRU-15 nanti, beliau berusia 98 tahun.

Bekas perdana menteri itu bagaimanapun berkata, beliau bersedia memberikan nasihat dan berkongsi pengalaman dengan anggota partinya, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Dr. Mahathir memberitahu perkara ini kepada pemberita ketika ditemui di pusat perkhidmatan Ahli Parlimen Langkawi, hari ini seperti laporan BERNAMA.

Ditanya apakah ada keperluan untuk membubarkan Parlimen agar diadakan pilihan raya umum berikutan perkembangan politik terbaru di negara ini, Dr. Mahathir mengatakan, situasi pandemik Covid-19 menimbulkan risiko terhadap rancangan tersebut.

“Dalam keadaan normal, ini dapat (dibubarkan) kerana PRU memberi kuasa kepada rakyat untuk memutuskan siapa yang akan menjadi pemerintah.

“Tetapi pada masa ini, negara menghadapi masalah Covid-19. Masalah ini menyebabkan kos mengadakan PRU menjadi tinggi dan juga mendedahkan rakyat kepada penyebaran penyakit ini.

“Saya yakin jika PRU diadakan, banyak orang akan terkena Covid-19, banyak yang akan mati. Persoalannya ialah adakah kita mengutamakan politik atau kehidupan rakyat,” tambahnya. – SM

(Visited 140 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button