Nasional

Daun ketupat nasi bakal naik harga – pemborong

MENJELANG umat Islam menyambut Aidilfitri tidak lama lagi sudah pasti pelbagai barangan dijangka mengalami kenaikan harga mendadak.

Buluh untuk membuat lemang juga dikatakan harganya akan naik. Itu sudah pasti berlaku rentetan daripada kenaikan sebahagian besar barangan lain sejak akhir-akhir ini.

Begitu juga daun kelapa muda untuk menganyam ketupat nasi pula dilaporkan akan mengalami kenaikan harga sekali ganda menjelang umat Islam menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Seorang pemborong di negeri ini, Hasan Loyot berkata, syarikat dari Indonesia telah menetapkan harga yang dijual sebelum daripada RM25 telah dinaikkan kepada RM35 seikat yang mengandungi 400 helai daun kelapa muda.

Hasan Loyot

Beliau berkata, syarikat terbabit memberi alasan kenaikan harga itu tidak dapat dielak kerana kenaikan kos sewa kapal, upah dan sebagainya menjadi faktor kenaikan harga bahan itu.

Menurutnya, dia terpaksa mendapat bekalan itu dari negara jiran kerana sukar mendapat pembekal daripada pasaran tempatan yang mampu membekalkan daun kelapa muda untuk kapasiti yang besar.

Beliau berkata, jika harga borong daun kelapa muda itu naik, secara tidak langsung pasaran untuk orang ramai membelinya juga dijangka naik daripada RM12 kepada RM15 seikat yang mengandungi 100 helai.

“Saya menerima permintaan yang tinggi daripada peniaga dan penjual ketupat nasi bagi perayaan Aidilfitri tahun ini.

“Tidak sama seperti tahun lalu, kebiasaannya saya menempah antara 600 hingga 800 ikat daun kelapa muda namun kali ini saya tempah sebanyak 1,000 ikat daun kelapa muda,” ujarnya ketika ditemui hari ini.

Hasan berkata, dia merasakan bekalan itu dijangka tidak mencukupi kerana pekerja susah untuk memanjatkan pokok kelapa berikutan hujan yang kerap berlaku di negara berkenaan.

Menurutnya, dia sudah membekal daun berkenaan sejak 15 tahun dan cukup dikenali dalam kalangan peniaga dan penjual ketupat nasi.

Sementara itu seorang pengusaha ketupat, Mohd. Yusri Mahat berkata, dia risau bekalan daun ketupat tidak mencukupi untuknya berniaga pada Aidilfitri kali ini.

Menurutnya, dia menerima tempahan antara 5,000 hingga 10,000 biji ketupat yang akan mula dimasak sehari sebelum umat Islam menyambut Aidilfitri nanti.

“Saya juga diberitahu harga bahan ini pula dijangka naik sekali ganda. Apa boleh buat dan semua barang naik harga dan tidak terkejut daun ketupat pun harganya juga naik,” ujarnya.

 

(Visited 255 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button