Jenayah

MCMC, PDRM Perhebat Usaha Banteras Eksploitasi Seksual Kanak-Kanak Dalam Talian

CYBERJAYA, 23 Jun 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperkukuh komitmen dalam membanteras jenayah eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian menerusi penguatkuasaan berterusan dan pendidikan kesedaran di seluruh negara.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini, sebanyak 1,501 kandungan jelik melibatkan kanak-kanak telah dikenal pasti setakat 15 Jun 2025. Daripada jumlah itu, 94% atau 1,415 kandungan berjaya diturunkan hasil kerjasama erat antara MCMC, penyedia platform digital, serta laporan orang awam.

13 Ditahan, Lebih 40,000 Bahan CSAM Dirampas

Antara kejayaan ketara termasuk ‘Operasi Pedo’ yang dilaksanakan Disember lalu, yang menyaksikan 13 individu ditahan serta rampasan lebih 40,000 bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM) di beberapa lokasi seluruh negara.

MCMC dan PDRM menegaskan bahawa menyebar, menyimpan, atau mengkomersialkan bahan sedemikian merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588). Pesalah boleh dikenakan denda hingga RM1 juta, penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Tambahan pula, sebarang perbuatan menghasilkan, memiliki, atau mengakses bahan penganiayaan seksual kanak-kanak juga boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Kempen Internet Selamat (KIS) Fokus Kesedaran Awal

Sebagai langkah pencegahan, MCMC turut mempergiatkan Kempen Internet Selamat (KIS) yang memberi tumpuan kepada golongan pelajar, ibu bapa dan komuniti. Kempen ini juga menekankan larangan pemilikan akaun media sosial bagi kanak-kanak berumur 13 tahun ke bawah, selari dengan piawaian antarabangsa.

Rakyat Digerakkan, Laporan Awam Dihargai

MCMC dan PDRM menyeru kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa, pendidik, pemimpin komuniti, pengguna internet serta pengendali platform media sosial agar memainkan peranan aktif dalam membanteras jenayah keji ini.

“Setiap laporan awam penting untuk siasatan dan pencegahan. Jangan berdiam diri,” tegas kenyataan itu.

Sebarang aktiviti mencurigakan boleh dilaporkan melalui:

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button