
MCMC lancar Cashless Society Scaling Up Programme Fasa 3
PUTRAJAYA 22 Jan. – Sektor Pembangunan Industri MCMC melalui Bahagian Masyarakat dan Keterangkuman Masa Depan telah melancarkan Cashless Society Scaling Up Programme Fasa 3.
MCMC dalam kenyataan medianya berkata, program yang diperkenalkan dalam Sesi Perbincangan Meja Bulat di Putrajaya hari ini akan diperluaskan ke tiga buah negeri tahun ini.
Cashless Society Scaling Up Programme digerakkan di seluruh negara selama lima tahun. Fasa 1 dan 2 telah berjaya dilaksanakan di empat buah negeri, bermula di Melaka dan siri jelajah di 28 pusat NADI seluruh negara melalui kerjasama antara MCMC dan PayNet. Susulan kejayaan ini, Fasa 2 diperluas ke Johor, Pahang, dan Negeri Sembilan, melibatkan lebih 56 lokasi/touchpoints komuniti serta kerjasama dengan 12 rakan strategik, termasuk bank dan penyedia e-dompet.
Setakat ini, program tersebut telah mencapai kejayaan besar apabila berjaya menarik kehadiran lebih 44,000 pengunjung, memudahkan lebih 18,000 transaksi tanpa tunai, mendaftar lebih 4,200 peniaga digital baharu, dan menjalankan hampir 550 aktiviti kesedaran. 2 Cashless Society Scaling Up Programme Fasa 3 akan diteruskan ke tiga negeri baharu iaitu Perak, Terengganu, dan Perlis.
Fasa 3 akan bermula pada pertengahan bulan Februari dengan aktiviti dijadual di 27 pusat NADI di Perak, bermula di Kampung Raban sebelum diteruskan di Terengganu pada suku kedua dan di Perlis pada suku ketiga tahun 2025. Fasa ini menyasarkan 56 lokasi/touchpoints, melibatkan kira-kira 25,000 pengunjung, memudahkan lebih 12,000 transaksi tanpa tunai, dan mendaftar lebih 2,000 peniaga digital baharu.
Selain Kerajaan Negeri dan FELDA, rakan strategik utama sedia ada yang turut serta dalam inisiatif ini termasuk agensi kerajaan dan institusi kewangan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Touch ‘n Go Digital, Maybank, Bank Islam, Bank Simpanan Nasional (BSN), Setel (Petronas), Sakupay, TM UNIFI, dan bakal rakan strategik baharu seperti Boost Bank, GXBank, AEON Bank, AFFIN Bank, BerryPay, dan Fiuu. Cashless Society Programme, dilancarkan pada tahun 2022, bertujuan untuk memperkasakan masyarakat luar bandar dan golongan kurang mendapat manfaat – terutamanya warga emas, belia, orang kurang upaya (OKU), dan peniaga – untuk menggunakan pembayaran dan transaksi digital (contoh: kod QR, kad kredit/debit).
Inisiatif ini mempercepat pembangunan ekonomi digital Malaysia untuk masa depan yang mampan dan selaras dengan sasaran Bank Negara Malaysia untuk mencapai 400 transaksi e-pembayaran per kapita menjelang 2026. Program ini memastikan penggunaan pembayaran tanpa tunai secara meluas dan mampan, terutamanya melalui penglibatan dasar dalam perlesenan perniagaan, di mana perniagaan/perusahaan digalakkan untuk menggunakan pembayaran tanpa tunai.
Program ini dilengkapi dengan kempen kesedaran yang berteraskan empat tunggak utama – Literasi Kewangan dan Digital, Keselamatan Sekuriti, Peluang Pendapatan, dan Pembangunan Kapasiti. Kempen kesedaran ini dilaksanakan melalui tiga modul iaitu Cashless @ NADI, Cashless Carnival, dan Cashless @ State dengan memanfaatkan pusat-pusat NADI untuk meningkatkan kebolehcapaian, kesalinghubungan, dan jangkauan proaktif.