
MCMC Dapat Injunksi Mahkamah Hentikan Penyebaran Kandungan Berunsur Hasutan di Telegram
CYBERJAYA, 19 Jun 2025 – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil tindakan tegas dengan memfailkan tuntutan sivil terhadap dua saluran Telegram, iaitu “Edisi Siasat” dan “Edisi Khas” yang dikenal pasti menyebarkan kandungan memudaratkan dan berunsur hasutan.
Tindakan ini diambil susulan pelanggaran serius terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, di mana kandungan yang dikongsi oleh saluran tersebut disifatkan berpotensi menjejaskan ketenteraman awam serta menghakis kepercayaan masyarakat terhadap institusi-institusi negara.
Menurut MCMC, Telegram sebagai penyedia Perkhidmatan Aplikasi (Kelas) atau ASP(C) telah gagal menangani aduan yang dikemukakan terhadap kandungan tersebut walaupun rundingan dan permintaan kerjasama telah dilakukan berulang kali.
Sehubungan itu, MCMC telah memohon dan berjaya mendapatkan perintah injunksi interim daripada Mahkamah Tinggi untuk menghentikan penyebaran kandungan berkenaan serta menghalang sebarang penerbitan semula kandungan serupa di masa akan datang.
“Tindakan ini merupakan langkah terakhir bagi memastikan kedaulatan undang-undang ditegakkan dan kepentingan awam dilindungi,” jelas kenyataan itu.
MCMC turut memaklumkan bahawa pihak Telegram akan diberikan ruang yang adil untuk membela diri di mahkamah, selaras dengan prinsip keadilan dan hak asasi.
Sebagai badan kawal selia, MCMC menegaskan bahawa semua penyedia platform media sosial mempunyai tanggungjawab ke atas kandungan yang diterbitkan di platform masing-masing. Suruhanjaya itu tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sama terhadap mana-mana platform lain sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
“MCMC kekal komited untuk memastikan ruang digital negara kekal selamat, beretika dan selari dengan undang-undang,” menurut kenyataan rasmi.