Nasional

MCMC bertindak tegas kawal selia kandungan digital bagi tangani kemudaratan

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengkaji semula kerangka kawal selia sedia ada ekoran berlakunya peningkatan tahap kandungan yang dieksploitasi oleh penjenayah dan mereka yang cuba
menganggu-gugat keselamatan awam dan keharmonian negara.

Terdapat beberapa aplikasi Over-The-Top (OTT) dan platform media sosial yang dilihat gagal mengawal selia penggunaan platform mereka sejajar dengan kepentingan nasional dan perundangan negara.

Justeru, tindakan kawal selia yang lebih ketat dan campur tangan oleh pihak pengawal selia adalah diperlukan bagi melindungi kepentingan pengguna dan orang awam.

“MCMC tidak akan berkompromi dengan perbuatan menyalahgunakan platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian ataupun kemudahan dalam talian untuk tujuan scam, aktiviti siber yang berniat jahat, penipuan, phishing, kandungan yang menggugat kestabilan dan keharmonian kaum, serta
penghinaan terhadap institusi Diraja.

“Kami akan bertindak terhadap mereka yang melanggar undang-undang. MCMC, selaku ahli dalam Pusat  Respons Scam Kebangsaan (NSRC), bersama-sama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), tekad untuk meneruskan usaha bersama kami dalam memerangi aktiviti penipuan menerusi tindakan-tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat,” kata Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Kebimbangan tersebut berbangkit selepas hasil pemerhatian yang dijalankan mendapati, jumlah kes penipuan menunjukkan peningkatan. Sejak penubuhan NSRC pada Oktober 2022, sejumlah 11,858 aduan yang berkaitan dengan penipuan telah diterima setakat April 2023.

Sementara itu, perangkaan yang diperolehi daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) PDRM bagi
tempoh antara 2021 sehingga April 2023 mendedahkan, jumlah kerugian akibat scam mencecah sehingga RM1.2 bilion.

Bagi tempoh yang sama juga, jumlah berita palsu yang dilaporkan kepada MCMC adalah sebanyak 2,125.

Selepas meneliti bilangan kes penyalahgunaan dan ancaman yang ditimbulkan akibat sikap lepas tangan oleh penyedia platform, pihak MCMC berpendapat, wujud keperluan untuk mengenakan serta menguatkuasakan kewajipan terhadap mereka yang mengendalikan platform sedemikian dan pihak yang mendapat manfaat daripada digitalisasi untuk mengambil langkah-langkah tegas bagi memastikan platform atau rangkaian kendalian mereka tidak digunakan sebagai forum untuk melanggar undang-undang negara ataupun mengancam
kepentingan awam.

Pihak pengawal selia dan rakan industri di Singapura, Vietnam dan Indonesia baru-baru ini telah atau dalam proses untuk menggubal undang-undang bagi tujuan mengawal selia serta menjenayahkan aktiviti penipuan dalam sesetengah platform yang dimaksudkan selain mempertanggungjawabkan platform yang gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Kerajaan dengan membenarkan aktiviti-aktiviti berniat jahat seperti penipuan pengiklanan dalam platform mereka atau tidak mengambil langkah yang secukupnya dalam mengekang aktiviti sedemikian.

MCMC sebagai badan kawal selia industri tertumpu di Malaysia, akan turut mengkaji semula pendekatan kawal selia untuk melaksanakan tahap pengawasan yang lebih tinggi menerusi instrumen perundangan sedia ada.

Ini termasuklah kajian semula ke atas pengecualian terhadap sesetengah aktiviti selain mengenakan sekatan jenayah dan arahan punitif terhadap entiti yang enggan mengambil langkah-langkah segera bagi memastikan aktiviti-aktiviti jenayah yang berlaku dalam rangkaian atau platform mereka dihentikan.

Tindakan bersama dan usaha yang diambil oleh MCMC adalah penting dalam memastikan masyarakat adalah dilindungi dan mempunyai satu persekitaran yang selamat dalam alam digital.

Langkah berkenaan juga akan dapat memastikan rasa kebertanggungjawapan yang lebih tinggi dan hormat kepada kedaulatan nasional dan pada masa yang sama, memperkasakan perlindungan kepada pengguna terhadap kemudaratan dalam talian, termasuk scam dan aktiviti penipuan. – SM

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button