Nasional

DAP berikrar pertahan sekolah vernakular, bawa isu ke Kabinet esok

KUALA LUMPUR – DAP berikrar untuk mempertahankan sekolah vernakular untuk terus wujud selepas beberapa pihak mengambil tindakan undang-undang bahawa penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular tidak selaras dengan Perlembagaan Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, semenjak kemerdekaan kewujudan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil tidak pernah dipersoalkan dan telah menerima dana awam.

Memetik laporan FMT, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau akan membangkitkan isu tersebut dalam mesyuarat Kabinet esok.

“Untuk pertama kali dalam sejarah, saman telah diambil dengan menamakan Kementerian Pelajaran dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan  dan mahu deklarasi bahawa sekolah vernakular Cina dan Tamil melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“DAP akan mempertahankan hak Perlembagaan sekolah Cina dan Tamil untuk wujud, dengan membangkitkan dalam mesyuarat Kabinet esok bahawa kerajaan harus memberi arahan untuk Peguam Negara untuk membantah tindakan undang-undang tersebut,” kata Guan Eng.

Guan Eng berkata, beliau juga meminta Pengerusi Biro Undang-undang DAP, Ramkarpal Singh, akan menyediakan perwakilan undang-undang.

Semalam Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), yang memfailkan cabaran baru terhadap kesahihan sekolah vernakular, telah melantik Haniff Khatri Abdulla sebagai peguam utama kes saman itu.

Saman itu menamakan Kementerian Pendidikan dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan. Ia memohon perisytiharan mahkamah bahawa kewujudan sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil melanggar Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ia juga memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa peruntukan di bawah Akta Pendidikan 1996 yang membolehkan penubuhan sekolah vernakular sebagai tidak sah di sisi Perlembagaan.

Selanjutnya, saman itu juga mahu Kementerian Pendidikan dan kerajaan Malaysia mengambil langkah-langkah untuk memastikan sekolah vernakular mematuhi Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh enam bulan keputusan mahkamah, jika ia memihak kepada mereka.

Hari ini, peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, beliau bakal memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi bagi mencabar dari segi perlembagaan kewujudan sekolah vernakular selepas gagal memperoleh kebenaran Mahkamah Persekutuan.

Mohd Khairul Azam berkata, Mahkamah Tinggi mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan isu undang-undang sama ada Seksyen 28 dan Seksyen 17 Akta Pendidikan 1996 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya.

Peguam itu berkata, beliau telah pada hari ini mengarahkan pasukan peguam saya untuk memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi, Jalan Duta, Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

(Visited 284 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button