fbpx
Luar Negara

McDonald’s Singapura henti operasi hingga 4 Mei

RESTORAN makanan segera, McDonald’s Singapura, menghentikan semua operasinya termasuk khidmat penghantaran “McDelivery” dan khidmat pandu lalu mulai hari ini hingga 4 Mei ini.

Semua restoran McDonald’s akan ditutup mulai jam 11 pagi ini sementara khidmat Drive-Thru pada jam 8 pagi dan pesanan terakhir McDelivery pada jam 10.30 pagi.

Pengarah Urusannya, Kenneth Chan, dalam kenyataan hari ini, berkata langkah tersebut diambil susulan nasihat Kementerian Kesihatan Singapura dalam usaha mencegah dan memerangi penularan wabak Covid-19.

“Bagi kami semua, ini adalah masa yang belum pernah terjadi sebelum ini. Kami mengambil semua langkah pencegahan dengan sebaik mungkin demi keselamatan pekerja dan pelanggan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas sokongan mereka yang berterusan dan berharap dapat memberi layanan semula pada 5 Mei ini,” katanya seperti yang dilaporkan BERNAMA.

Sehingga semalam, Singapura mencatatkan jumlah keseluruhan 5,992 kes positif Covid-19.

Tujuh rakyat Malaysia antara 942 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes di republik ini sebanyak 5,992.

Berikutan tujuh kes baharu itu, kini terdapat sebanyak 92 rakyat Malaysia dijangkiti virus corona di sini..

Menurut data harian terbaru dikeluarkan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, dua daripada mereka ada kaitan dengan dua pekerja asing yang dijangkiti di asrama iaitu Asrama Tuas View dan Sungei Tengah Lodge.

Tiga daripada mereka, sementara itu, masih diklasifikasikan sebagai kes tiada kaitan tempatan manakala satu lagi ada kaitan dengan kluster TTJ Design & Engineering Pte Ltd dan seorang lagi rakyat Malaysia mempunyai kaitan dengan kes 4,547, warganegara Malaysia berumur 29 tahun.

MOH berkata kes 4,754, rakyat Malaysia berumur 40 tahun, meninggal dunia hari ini tetapi bukan akibat komplikasi jangkitan COVID-19.

Punca kematian akibat bekalan darah ke jantung tersekat berserta serangan kardiogenik, kata kementerian itu dan menurutnya lelaki itu disahkan dijangkiti  COVID-19 pada 17  April.

Daripada 942 kes baharu, MOH berkata  22 kes dalam komuniti: 27 pemegang Permit Kerja yang tinggal di luar asrama manakala 893 pemegang Permit Kerja yang duduk di asrama.

Selain daripada TTJ Design & Engineering Pte Ltd, Singapura melaporkan dua lagi kluster baharu iaitu di Homestay Lodge di Kaki Bukit Avenue 3; dan Asrama CDPL Tuas di Tuas South Street 15.

Setakat ini, 740 kes COVID-19 telah dibenarkan discaj daripada hospital atau fasiliti isolasi komuniti.

Daripada 2,563 kes disahkan yang masih dirawat di hospital, kebanyakannya stabil dan bertambah baik, manakala 23 berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

MOH berkata 2,678 kes berada dalam keadaan baik dari segi klinikal tetapi masih positif COVID-19 telah  diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Singapura setakat ini melaporkan 11 kematian akibat COVID-19. -Bernama

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Penulis mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. 'Kehilangan' jurukamera ketika bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah penulis lupakan.

Related Articles

Back to top button