Ekonomi

Mcdonald’s jadi ‘Mekdi’ di 16 restoran terpilih

Mcdonald’s Malaysia akan memaparkan papan tanda ‘Mekdi’, iaitu singkatan panggilan McDonald’s yang sinonim dalam kalangan penduduk tempatan, di 16 restoran terpilih di seluruh negara.

Naib Presiden dan Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s Malaysia Melati Abdul Hai berkata, ia dilancarkan sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, serta sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menyokong rangkaian makanan segera itu yang telah bertapak di negara ini sejak 38 tahun lepas.

Beliau berkata kesemua 16 restoran itu dipilih sendiri rakyat Malaysia yang diberi peluang untuk membuat undian restoran McDonald’s yang akan memaparkan papan tanda berkenaan.

“Dikenali sebagai ‘Mekdi’ dalam kalangan rakyat Malaysia, jenama McDonald’s terus berkembang seperti hari ini di atas sokongan padu pelanggan kami,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran papan tanda Mekdi di restoran McDonald’s di Putrajaya di sini, hari ini.

mekdiSempena sambutan bulan kemerdekaan juga katanya, McDonald’s Malaysia membawakan sentuhan baharu kepada menu Nasi Lemak McD yang popular.

“Pelanggan kini boleh menikmati rendang ayam sebagai pilhan hidangan sampingan tambahan bersama nasi lemak harum, ikan bilis rangup, timun segar dan telur goreng berserta sambal pedas,” katanya.

Beliau berkata pelanggan juga boleh memilih untuk menikmati Nasi Lemak McD bersama kepingan ‘Spicy Chicken McDeluxe’ atau kepingan ‘Grilled Chicken Burger’.

“McDonald’s juga menyuntik cita rasa tempatan kepada menu pencuci mulutnya dengan memperkenalkan McFlurry Cendol baharu, yang menampilkan keenakan gula melaka, cebisan kelapa, vanila berkrim cair dan jeli cendol,” katanya sambil menambah, pencuci mulut menarik seperti pai jagung dan aiskrim berperisa cendol turut diadakan semula.

Dalam perkembangan lain, Melati berkata McDonald’s Malaysia merancang untuk membuka 450 restoran menjelang 2025 berbanding 300 restoran pada ketika ini.

Selaras dengan perancangan itu, McDonald’s Malaysia menyasarkan untuk menambah seramai 10,000 lagi tenaga kerja, berbanding kira-kira 14,000 kakitangan yang ada pada masa ini. — BERNAMA

(Visited 426 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button