Politik

MCA terhutang budi dengan semua pihak

MCA terhutang budi dengan semua pihak sehingga dapat membantu kemenangan calonnya Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng pada pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai.

PRESIDEN MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, MCA yang terharu dengan semangat yang ditunjukkan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu kepada kemenangan Barisan Nasional.

“Terharu melihat semangat kerjasama kali ini dan inilah yang diterjemahkan dalam undi dan saya rasa kita terhutang budi kepada semua pihak,” katanya pada sidang media di lobi parlimen, hari ini.

Pada masa yang sama kata Ka Siong, MCA tidak akan mengambil mudah dengan kemenangan yang dicapai itu dan akan terus memperbaiki segala kelemahan yang ada.

Katanya, bedah siasat akan dilaksanakan dengan mengambil kira pelbagai aspek samil mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memberikan mandat yang cukup besar.

“Terima kasih kepada semua pengundi dan penduduk Tanjung Piai yang memberikan mandat agak kuat dan mandat besar itu kita tidak ambil mudah. Akan buat ‘post moterm’ dimanakah perlu diperbaiki,dan kita akan buat analisa apakah sebab yang menyumbang kepada kemenangan ini.

“Dan apakah kekurangan yang ada PH dan pada masa yang sama kita akan lihat apakah peranan yangboleh dimainkan oleh kita selaku pembangkang,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau melihat hari pertama Dr Wee di Dewan Rakyat telah melaksanakan tanggungjawab membawa suara rakyat ke parlimen.

“Tahniah kepada Dr Wee Jeck Seng dan ucapkan selamat bertugas. Apabila masuk sahaja ke parlimen, terus merebut soalan dan memang diberi peluang oleh speaker tadi untuk bertanya dan saya terharu walaupun baru sahaja dipilih dua hari yang lalu telah mengemukakan soalan atau soalan tambahan kepada menteri tentang kesengsaraan nelayan di Kukup.

“Ini satu contoh yang baik… sebelum ini ditohmah macam-macam kata wakil rakyat ini jarang tanya soalan, hari ini terbukti jam pertama sudah tanya soalan. Ini menunjukkan bahawa beliau mula bekerja dan akan terus memelihara nasib orang kampung khususnya warga Tanjung Piai,” ujarnya.

(Visited 82 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button