Uncategorized

MCA kekal tanding di Alor Gajah, Kota Melaka

Barisan Nasional (BN) dijangka mengekalkan status quo buat MCA bertanding di Parlimen Alor Gajah dan Kota Melaka dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Menurutnya, calon-calon daripada UMNO pula akan terus kekal bertanding di Tangga Batu, Masjid Tanah, Jasin dan Hang Tuah Jaya.

Menegaskan perkara tersebut beliau berkata, senarai calon-calon seramai lima orang dari UMNO di setiap bahagian telah diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk dinilai sebelum dimuktamadkan untuk membawa cabaran BN merampas kembali empat kerusi Parlimen iaitu Masjid Tanah, Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Alor Gajah.

Menurutnya, kejayaan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi petunjuk bahawa rakyat di negeri ini cukup serik dengan pemerintahan 22 bulan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara selepas mereka memenangi PRU14.

“Rakyat kini sudah sedar terutama pengundi atas pagar betapa rekod cemerlang BN mentadbir negara selama 60 tahun tidak mampu disamai oleh kerajaan PH sewaktu tadbir negara selama 22 bulan.

“Kalau nak kerajaan yang mempunyai track record yang baik mentadbir negara selama 60 tahun maka rakyatharus percaya dan memilih BN. Tiada parti lain yang mampu melakukannya melainkan UMNO dan BN.

“Saya yakin rakyat sudah sedar sepanjang tempoh 22 bulan PH memerintah Melaka banyak kepincangan yang berlaku apa lagi janji manifesto yang tidak ditunaikan sekadar omong kosong.

“Berdasarkan sokongan sewaktu PRN apabila BN menang besar sudah tentu empat kerusi Parlimen bagi PRU15 ini mampu dirampas kembali,” ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.

Mohamad Ali yang juga Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu berkata, satu lagi faktor yang mendorong pengundi mahu BN kembali memerintah kerana wakil rakyat pembangkang tidak memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat setempat.

Sebaliknya kata beliau, kebanyakkan wakil rakyat pembangkang lebih banyak bercakap daripada memberikan perkhidmatan kepada rakyat. – SM

(Visited 111 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button