
MBSB Bank Lancar Akaun Gaji Fleksibel ‘WorksForMe’ untuk Semua Golongan Pekerja
MBSB Bank melancarkan inisiatif terbaharu mereka, WorksForMe, sebuah penawaran akaun gaji yang dirangka khas untuk memudahkan proses penyimpanan dan perancangan kewangan secara fleksibel, mudah dan bermakna.
Inisiatif ini menyasarkan golongan pekerja bergaji tetap, pekerja bebas (freelancer), pekerja ekonomi gig serta individu berpendapatan sampingan yang semakin berkembang di Malaysia. WorksForMe direka untuk menyokong gaya hidup kewangan moden — tanpa syarat rumit atau terma tersembunyi.
“Hari ini masyarakat semakin celik kewangan. Maka, mereka wajar diberikan alat yang selari dengan keperluan dan matlamat kewangan masing-masing,” kata Soo Bee Teong, Ketua Liabiliti dan Proposisi, Perbankan Pengguna Kumpulan, MBSB Bank.
“Menerusi WorksForMe, kami permudahkan urusan. Pelanggan hanya perlu mengkreditkan pendapatan ke akaun MBSB Bank untuk menikmati pelbagai ganjaran, keistimewaan dan fleksibiliti. Tiada syarat keterlaluan, tiada kerumitan — hanya nilai sebenar,” tambah beliau.
Ganjaran Mudah, Nilai Maksimum
Antara manfaat utama WorksForMe termasuk:
-
Pengeluaran ATM Percuma di semua mesin ATM MEPS di seluruh negara – akses wang tunai tanpa caj tersembunyi.
-
Akaun Baharu Tanpa Deposit Awal – pelanggan boleh membuka akaun baru tanpa sebarang deposit awal serta menikmati kadar keuntungan menarik.
-
Pakej Pembiayaan Kompetitif – termasuk pembiayaan peribadi, perumahan dan kenderaan.
-
Pelaburan Unit Amanah – caj jualan serendah 1.0% menerusi perantara dana berkualiti tinggi dengan akses permulaan yang rendah.
-
Ganjaran Akaun Bersama Anak – membina tabungan sambil mendidik generasi celik kewangan.
WorksForMe juga membantu pelanggan menangani cabaran ‘bias masa kini’ – kecenderungan mengutamakan keperluan jangka pendek berbanding matlamat jangka panjang – dengan menyediakan lebih kawalan, fleksibiliti dan galakan untuk membuat keputusan kewangan yang lebih bijak.
“Kami percaya bahawa proses menyimpan dan membina kekayaan harus mesra pengguna dan tidak membebankan,” ujar Usman Ghouse, Ketua Perbankan Pengguna Kumpulan, MBSB Bank.
“WorksForMe merupakan manifestasi komitmen kami – setiap Ringgit yang disimpan, dibelanjakan atau dilaburkan bersama MBSB Bank adalah pelaburan untuk masa depan kewangan yang lebih kukuh.”
Inisiatif WorksForMe kini tersedia di semua cawangan MBSB Bank di seluruh negara. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.mbsbbank.com atau kunjungi cawangan terdekat.