Ekonomi

MBI Selangor dan NAICO Perkukuh Kerjasama Tenaga Kerja Aeroangkasa di IPAS 2025

PARIS, 17 Jun 2025 – Satu detik bersejarah tercipta di pentas antarabangsa apabila Menteri Besar Selangor (Incorporated) [MBI Selangor] dan National Aerospace Industry Corporation Malaysia [NAICO] memeterai komitmen strategik bagi memperkukuh pembangunan tenaga kerja industri aeroangkasa melalui Selangor Aero Park (SAP) di KLIA Aeropolis.

Pengumuman penting ini dibuat oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari sempena penyertaan Malaysia di International Paris Air Show (IPAS) 2025, menandakan langkah berani Kerajaan Negeri Selangor dalam menjadikan negeri itu sebagai hab aeroangkasa serantau yang berdaya saing.

“Visi kami adalah jelas – menjadikan modal insan sebagai teras pertumbuhan. SAP bukan sekadar pelaburan infrastruktur, tetapi pelaburan dalam generasi masa depan yang akan menerajui inovasi dalam industri aeroangkasa,” ujar Amirudin yang mewakili MBI Selangor ketika majlis menandatangani MoU.

Antara komponen utama yang ditonjolkan ialah cadangan penubuhan Aerospace Talent Centre, kerjasama nasional menerusi MyAERO, serta program pembangunan kemahiran masa hadapan melibatkan sektor akademik dan industri.

KLIA Aeropolis: Infrastruktur Strategik dan Ekosistem Global

Terletak di dalam KLIA Aeropolis – kawasan pembangunan strategik seluas 100 kilometer persegi – Selangor Aero Park disasar menjadi nadi pertumbuhan bagi aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pembuatan komponen, logistik dan teknologi penerbangan.

SAP dibangunkan dengan sokongan penuh daripada Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), dan menjanjikan:

  • Akses pasaran global menerusi kehadiran syarikat utama seperti Airbus Helicopters, GE Aviation, dan Spirit AeroSystems
  • Kemudahan logistik bersepadu dengan sambungan multimodal terus ke KLIA
  • Sokongan penyelidikan dan inovasi bertaraf dunia
  • Penawaran persekitaran pelaburan yang mesra dan efisien di semua peringkat kerajaan

Pemangkin Transformasi Ekonomi Negeri dan Negara

Pembangunan SAP bukan sahaja dijangka merangsang pelaburan bernilai tinggi, tetapi juga menjadi pemangkin kepada transformasi struktur ekonomi negeri ke arah industri berteknologi tinggi dan berpendapatan tinggi.

Kerajaan Negeri Selangor melihat inisiatif ini sebagai permulaan kepada kerjasama jangka panjang yang bukan sahaja menguntungkan negeri, malah membawa manfaat besar kepada landskap ekonomi nasional.

“Selamat datang ke Selangor. Masa depan industri aeroangkasa bermula di sini,” jelas kenyataan bersama di akhir majlis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button