
MBG Fruit Terima Anugerah Jenama Halal Terkemuka di IDEA Award 2025
PENGASAS MBG Fruit, Adnan Lee, 50, yang merupakan mualaf telah dinobatkan sebagai penerima Distinguished Halal Brand Award dalam majlis Islamic Distinguished Enterprise Award (IDEA) 2025 edisi kedua yang berlangsung meriah di Hotel Le Meridien, baru-baru ini.

Anugerah itu diberikan bagi mengiktiraf sumbangan beliau dalam memperkukuh perniagaan berteraskan halal serta memartabatkan industri buah tempatan ke peringkat antarabangsa.
Menurut Adnan, penglibatan beliau dalam dunia perniagaan bermula seawal usia 19 tahun, terinspirasi daripada datuk dan bapanya yang turut menjalankan perniagaan buah-buahan sejak sebelum era kemerdekaan.
“Anugerah ini adalah rezeki daripada Allah. Saya merupakan generasi ketiga dalam industri buah-buahan ini yang bermula sejak zaman datuk saya. Ketika itu hanya ada pasar pagi. Zaman bapa saya berkembang ke pasar malam dan pasar tani, manakala sekarang orang lebih cenderung ke pusat beli-belah dan pembelian dalam talian,” katanya.
Tambahnya lagi, perubahan gaya hidup masyarakat telah mencetuskan revolusi dalam model perniagaan, dan sebagai usahawan, beliau perlu sentiasa beradaptasi.
“Kalau kita tak ikut perubahan, kita akan ketinggalan. Industri buah ini sangat baik kerana disebut sebanyak 37 kali dalam Al-Quran. Ia adalah makanan kedua terbaik selepas susu ibu, tiada isu halal, dan diminati oleh semua golongan tanpa mengira bangsa dan jantina. Pasarannya sangat luas.”
Sehingga kini, MBG Fruit mempunyai 44 cawangan di sekitar Lembah Klang serta mengimport buah-buahan dari seluruh dunia. Mesir menjadi penyumbang terbesar dengan 26 peratus jumlah import syarikat.
IDEA Award 2025: Pengiktirafan Global Keusahawanan Islam

IDEA Award 2025 bukan sekadar acara penganugerahan, tetapi simbol kepada gerakan kebangkitan ekonomi ummah yang lestari dan berimpak tinggi.
Anugerah berprestij ini dianjurkan oleh KNKV Group dan diiktiraf secara rasmi oleh Dewan Perniagaan Muslim Insiders, dengan sokongan kukuh daripada beberapa organisasi strategik, antaranya
-
CTOS Data Systems selaku rakan semakan rasmi,
-
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sebagai rakan strategik akademik,
-
Firma guaman Hafarizam, Wan & Aisha Mubarak (HWAM) sebagai rakan guaman rasmi,
-
dan Yayasan Mihrab sebagai rakan kebajikan.
Majlis ini menghimpunkan tokoh industri dari dalam dan luar negara, termasuk penerima anugerah antarabangsa seperti Muslim Pro (Singapura), Human Appeal (Australia), dan ZTE (China), menjadikannya medan pengiktirafan global kepada syarikat yang berjaya menggabungkan prinsip perniagaan moden dengan etika Islam.
Presiden Dewan Perniagaan Muslim Insiders, Professor (Adj) Hj Adam Richman, menjelaskan bahawa penganjuran IDEA Award bukan sekadar meraikan kejayaan syarikat, malah bertujuan memberi inspirasi kepada lebih banyak perniagaan untuk berani menerapkan prinsip Syariah dalam operasi harian mereka.
“Contohnya, penggunaan sistem CTOS dalam proses penjurian adalah selari dengan konsep tabayyun yang disebut dalam Surah Al-Hujurat, ayat 6. Ia mungkin tampak seperti satu langkah kecil, namun memberi impak besar terhadap pembentukan ekonomi ummah yang berintegriti,” katanya.
Acara turut diserikan dengan kehadiran tetamu kenamaan seperti Yang Amat Mulia Tunku Laksamana Negeri Sembilan, Tunku Dato’ Seri Utama Naquiyuddin ibni Almarhum Tuanku Ja’afar, serta YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bersama barisan tokoh korporat dan pemimpin industri dari pelbagai latar belakang.