Hiburan

Meraikan empat dekad, Zainal Abidin tampil dengan lagu ‘Tiba Masa’

Setelah lebih 30 tahun menyanyikan lagu popular ‘Hijau’, hari ini Datuk Zainal Abidin telah memperkenalkan sebuah naskah terbaharu berjudul ‘Tiba Masa’. ‘Tiba Masa’ merupakan kesinambungan kepada lagu pertama nyanyiannya secara solo itu.

Dihasilkan sempena meraikan empat dekad legasinya di dalam industri muzik tanah air, lagu ‘Tiba Masa’ telah mendapat sentuhan emas daripada komposer yang disegani, Michael Veerapen, yang bertindak sebagai pencipta
lagu dan dilengkapi dengan bait-bait lirik tulisan Mukhlis Nor.

Dikenali ramai sebagai seorang penyanyi bergenre muzik dunia dan kerohanian, lagu-lagu nyanyian  Zainal banyak berkisarkan tentang kemanusiaan dan alam sekitar, lagu-lagunya sering mencuri perhatian para pendengar dan diterima oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Menurut Zainal, idea menghasilkan lagu berdurasi tiga minit lebih itu tercetus apabila saban hari semakin banyak isu pencemaran dan kemusnahan alam sekitar menjadi liputan utama akhbar.

“Saya sudah ingatkan orang ramai semasa menyanyikan lagu ‘Hijau’ 30 tahun yang lalu bahawa kita perlu menjaga alam sekitar, namun tidak ramai yang ambil peduli, akhirnya sekarang kita menanggung akibatnya,” ujar Zainal.

Beliau sememangnya lantang dalam menyokong usaha untuk mengekalkan pemuliharaan dan keseimbangan ekologi dalam persekitaran semula jadi planet, demi kesejahteraan generasi semasa dan akan datang, selari dengan konsep kelestarian alam sekitar yang gigih diperjuangkan.

Para peminat Zainal yang ingin mendengar lagu ‘Tiba Masa’ boleh strim lagu tersebut di kesemua platform muzik digital seperti Spotify, Deezer, Itunes, Huawei Music dan di platform media sosial Facebook, Instagram serta Tiktok.

Turut dilancarkan pada hari tersebut adalah video muzik ‘Tiba Masa’ yang telah diarahkan sendiri oleh isteri Zainal, Datin Angelina Asmawi.

Mengambil masa hanya dua jam sahaja untuk melengkpakan penggambaran, video muzik tersebut mengetengahkan teknologi AI terkini, pertama seumpamanya di Malaysia.

Dengan mengetengahkan latarbelakang alam sekitar, video muzik tersebut telah dipersembahkan buat pertama kalinya kepada para hadirin di majlis tersebut sebelum diikuti dengan persembahan secara langsung daripada Zainal.

Peminat-peminat yang ingin menonton video muzik tersebut boleh ke saluran Youtube Zainal @zainalabidinhijau di link berikut: https://youtu.be/BQ_pzj9d83g

Sidang media petang itu telah dimulakan dengan pengumuman daripada Pengarah Urusan Bsync Live, Adam Mazelan, berkenaan sebuah konsert yang menggunakan nama lagu terbaharu Zainal iaitu Konsert “Tiba Masa Zainal Abidin” yang bakal dilangsungkan pada 30 September 2023 nanti di Panggung Sari, Istana Budaya.

Menurut Adam, tiket-tiket konsert telah pun mula dijual sejak 4 Ogos 2023 yang lalu di www.ticket2u.com.my dan sambutan yang diterima setakat ini amatlah menggalakkan.

Menawarkan enam tier tiket pada harga bermula RM169 untuk tempat duduk Aras 2 sehingga RM865 untuk tempat duduk kategori Emas, Adam mensasarkan tiket akan habis terjual untuk konsert yang bakal berlangsung untuk satu malam tersebut.

Zainal dijangka akan membuat persembahan tanpa henti selama dua jam dengan diiringi barisan pemuzik tersohor antaranya Mac Chew dan Michael Veerapen.

Selain menyanyikan lagu-lagu popular, turut menjadi tarikan konsert “Tiba Masa” adalah kemunculan istimewa Zainal bersama kumpulan Headwind yang bakal menyampaikan lagu-lagu hit mereka seperti Suraya, Pelangi, Segalanya Mungkin dan Hanya Di Radio.

Kali terakhir kemunculan Headwind bersama Zainal dalam sebuah persembahan adalah sewaktu konsert  Zainal lima tahun yang lalu.

Ketahui kisah-kisah di sebalik tabir sekitar persiapan Zainal untuk konsertnya di laman media sosial Facebook dan Instagram @tibamasa.zainalabidin atau klik link berikut untuk pautan yang lebih pantas: https://linktr.ee/datukzainalabidin – SM

BACA Zainalabidin bakal gegar Istana Budaya dengan Konsert ‘Tiba Masa’

(Visited 119 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button