Berita

MB Perlis berang dengan KTMB – Tandas punya hal

MENTERI Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man kecewa dengan masalah tandas di stesen kereta api Arau yang berlarutan.

”Saya sering melihat dan mendengar netizens mengadu mengenai tandas di stesen KTMB Arau yang kadang-kala tidak dapat digunakan atau berkunci.

“Isu yang lebih kerap dibangkitkan ialah lif yang sentiasa rosak dan tidak dapat digunakan oleh pengunjung yang ke stesen KTMB Arau tersebut. Ia memberikan masalah kepada golongan wargamas, kanak-kanak kecil dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan terutamanya untuk ke tingkat 1 dari tingkat bawah.

“Walau pun dah banyak aduan yang dibuat dalam pelbagai saluran media sosial, namun tidak ada penyelesaian konkrit yang diambil oleh pihak yang berkenaan!” katanya.

Menurut beliau, ada beberapa soalan yang perlu dijawab seperti siapakah pemilik stesen KTMB dan siapa bertanggungjawab ke atas penyenggaraan aset-aset di stesen tersebut.

”Jawapannya ialah Suruhanjaya Aset Keretapi (RAC) yang terletak di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Apa pula peranan KTMB? Peranan KTMB hanyalah melakukan operasi keretapi. Ia juga bertanggungjawab ke atas penyenggaraan gerabak dan lokomotif keretapi.

“Kita sering dengar netizens mengkritik KTMB kerana kerosakan di stesen-stesen KTMB, termasuk di Arau. KTMB pula berada di bawah Kementerian Kewangan Malaysia,” kata beliau.

Kritik dan aduan sepatutnya ditujukan kepada RAC, kata beliau bukannya KTMB.

Apa pun, ujar beliau, tidak boleh salahkan netizens dalam hal ini kerana mereka tidak tahu struktur fungsi dan tanggungjawab sebenar RAC dan KTMB. Pada mereka, apa yang penting ialah keselesaan kepada pengguna yang berkunjung ke stesen keretapi.

“Apa pula peranan Kerajaan Negeri? Peranan Kerajaan Negeri ialah menyampai dan mengingatkan RAC atau KTMB isu-isu yang dibangkitkan oleh netizens.

“Contoh terbaru, semasa pertemuan tiga penjuru yang melibatkan Pengerusi, CEO dan CFO pada 17.2.2022 lepas, saya turut meminta pertolongan KTMB untuk menyampaikan isu-isu yang dibangkitkan rakyat kepada RAC untuk tindakan segera.

“Harapan saya agar RAC lebih proaktif dan segera mengambil perhatian dan tindakan ke atas isu-isu yang dibangkitkan oleh netizens mengenai stesen keretapi, terutamanya STESEN KTMB DI RAJA, Arau.

“Diharap posting FB ini akan sampai ke pengetahuan RAC. Insya-Allah,” jelas Azlan. – SM

(Visited 367 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button