Nasional

MB Kedah tak pernah tawarkan rumah PPR kepada warga Myanmar

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mahupun wakil-wakil sah Kerajaan Negeri tidak pernah membuat kenyataan menawarkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kepada warga Myanmar yang duduk di kawasan Bukit Malut, Langkawi.

Pejabat Menteri Besar Kedah dalam satu kenyataan berkata, keyataan yang dikeluarkan Setiausaha Kehormat Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff yang disiarkan dalam akhbar juga tidak tepat.

“Cake memberitahu akan membuat bantahan sekiranya kerajaan negeri menawarkan rumah di dua projek perumahan rakyat (PPR) yang sedang dalam pembinaan kepada warga Myanmar yang tinggal di Bukit Malut, Langkawi.

“Mohamad Yusrizal juga dipetik sebagai berkata, ‘Kerajaan negeri tidak sepatutnya menawarkan rumah PPR yang mempunyai sebanyak 1,000 unit bernilai kira-kira RM247 juta itu kepada warga Myanmar berkenaan’,” kata kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, Projek Perumahan Rakyat (PPR) sebenarnya adalah bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), bukan Kerajaan Negeri.

Ujarnya, penglibatan Kerajaan Negeri, khususnya Bahagian Perumahan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dalam urusan ini adalah sangat terhad iaitu menerima permohonan daripada rakyat Negeri Kedah yang layak, khususnya anak jati Langkawi dan kemudian menyerahkan kepada KPKT untuk proses penapisan dan diberikan kelulusan.

“Menteri Besar dalam wawancara siaran langsung Langkawi FM pada 15 Mac 2021 telah menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan mengusulkan kepada KPKT untuk memastikan hanya anak jati Langkawi diberikan kelulusan untuk menduduki PPR Hulu Melaka dan Kuah.

“Agak mencurigakan bagaimana dalam situasi yang seperti ini, Menteri Besar, anggota MMK mahupun pegawai-pegawai kerajaan tidak pernah membuat kenyataan yang menjurus kepada maksud seperti yang dinyatakan dalam berita itu.

“Kerajaan Negeri bukanlah pihak yang berkuasa dalam urusan PPR, kenyataan seperti ini boleh dikeluarkan oleh pihak Cake,” jelasnya.

Sehubungan itu, kenyataan itu turut berharap supaya Cake sebagai pertubuhan yang berpengaruh dalam komuniti pengguna di negeri ini mengelak daripada membuat kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat terhadap kerajaan dengan bersandar pada andaian yang sama sekali tidak berasas.

Tambahnya, Kerajaan Negeri sentiasa mendukung hasrat untuk meningkatkan keharmonian dengan
semua pihak termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan demi maslahat rakyat negeri Kedah. -SM

(Visited 413 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button