Nasional

Pertemuan Tun M, Muhyiddin beri harapan baharu

Pertemuan di antara kedua tokoh pemimpin melayu yang sanggup ketepikan segala perbedaan fahaman politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa di bumi bertuah ini harus diberi pujian melangit.

Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baru kepada keseluruhan  orang-orang melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan melayu secara mutlak.

Perjumpaan ikhlas antara dua tokoh pemimpin melayu ini selama hampir satu jam lima puluh minit malam tadi bakal memberi semangat baru pada gerakan Proklamasi Orang Melayu untuk terus memacu agenda bagi memperkasakan serta menguatkan kedudukan anak bangsa di bumi asal orang-orang melayu ini.

Pertemuan yang amat bermakna ini merupakan satu manifestasi penyatuan melayu secara total yang sedang diusahakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad demi memenuhi harapan serta impian keseluruhan orang-orang melayu.

Bangsa melayu sedang menuntut penyatuan yang jitu demi untuk memperkasakan semula kedudukan anak bangsa agar menjadi satu bangsa yang dihormati oleh semua pihak baik di dalam mahupun luar negara.

Nawaitu ikhlas Tun Dr Mahathir Mohamad mengilhamkan Proklamasi Orang Melayu mendapat sambutan yang amat luar biasa dari keseluruhan orang-orang melayu di seluruh pelusuk tanahair.

Sesungguhnya, gerakan Proklamasi Orang Melayu secara ‘non partisan’ membuka pintu secara seluas-luasnya kepada mana-mana individu-individu melayu yang bersemangat untuk bersatu-padu tanpa kira apa saja fahaman ideologi politik masing-masing.

Sekretariat Proklamasi Orang Melayu akan mengembangkan satu daya-usaha untuk menyatupadukan keseluruhan umat melayu secara ‘total’ seterusnya mengenal-pasti segala polemik permasalahan dan memperkenalkan formula penyelesaian ke atas setiap masalah-masalah yang membelenggui kita selama ini.

Gerakan Proklamasi Orang Melayu bukan berteraskan berpartian tetapi atas dasar perjuangan orang melayu serta semangat melayu semata-mata.

Kita hanya ingin membicarakan tentang setiap permasalahan melayu serta menyelesaikannya berteraskan ‘hak-hak’ orang-orang melayu sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan.

Daya usaha Proklamasi Orang Melayu tidak akan mengizinkan anak bangsa kita mengambil hak-hak kaum-kaum lain di tanahair ini  secara tidak berperlembagaan.

Hak-hak kaum-kaum lain di tanahair kita dihormati secara kental kerana matlamat Proklamasi Orang Melayu ingin mengujudkan sebuah negara berteraskan ‘love,’ ‘peace’ dan ‘unity’ yang hidup dalam rukun aman damai di antara kepelbagaian kaum.

Asas ini akan dipegang erat dan gerakan Proklamasi Orang Melayu tidak akan mengizinkan mana-mana anak bangsa mengganggu-gugat keharmonian negara yang tercinta ini.

Dalam ertikata lain, gerakan Prokamasi Orang Melayu juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menganjurkan provokasi terhadap bangsa, agama serta Institusi DiRaja.

Tetapi asasnya, jurang perbedaan ekonomi khususnya di antara bangsa melayu dengan kaum-kaum lain mesti dirapatkan demi kesamarataan serta keadilan menguasai kekayaan negara.

Stabilnya kedudukan bangsa melayu akan menjaminkan kestabilan negara dalam bidang politik, ekonomi mahupun sosial.

Ini adalah ‘fundamental’ unik di negara kita yang tidak  boleh dinafikan oleh sesiapa pun.

Perjumpaan bersejarah ini akan menjurus ke arah menjalinkan penyatuan serta perpaduan melayu secara tulen tanpa sebarang perasaan curiga-mencurigai di antara satu sama lain.

Bangsa melayu jangan cuai dan lalai.

Bangsa melayu jangan biarkan nasi menjadi bubur kerana sekali nasi menjadi bubur maka bubur tidak akan jadi nasi lagi manakala nasi takkan menjadi beras lagi.

Tatkala itu, sekiranya bangsa melayu menangis air mata darah sekalipun tidak berguna lagi kerana segalanya sudah terlambat.

Apa ertinya kepada bangsa melayu sekiranya kita menang jadi arang dan kalah jadi abu?

Apa maknanya kepada bangsa melayu  seandainya kita menang sorak kampung tergadai?

Bersatu kita teguh; bercerai kita roboh!

Jangan sama sekali kita mengizinkan anak cucu kita merempat di tanahair sendiri.

Jika musibah ini berlaku maka kita berdosa kepada keseluruhan anak cucu kita di tanahair sendiri.

Dalam apa jua keadaan Insya-Allah demi perjuangan ‘ABATA’ kita akan jaminkan ‘Takkan Melayu Hilang Di Dunia.’ Ameen.

Yang Ikhlas,

KHAIRUDDIN ABU HASSAN

Pengerusi

Sekretariat Peoklamasi Orang Melayu

5 Julai 2023

(Visited 273 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button