KesihatanNasionalNegeri

Raja Muda berkenan hadir program MAIPs Peduli Khas sempena Hari Diabetes Sedunia

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri program MAIPs Peduli Khas bersempena Hari Diabetes Sedunia Peringkat Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis di Masjid Jamek, Kampung Binjal, Utan Aji, Kangar, semalam.

Sambutan ini diadakan pada 14 November setiap tahun dan pada tahun ini ia bertemakan “Akses Kepada Pendidikan Diabetes”(Access to Diabetes Education).

Tema ini merupakan kesinambungan daripada tema-tema beberapa tahun kebelakangan ini yang menjurus kepada penjagaan terhadap penghidap diabetes.

Penghidap diabetes perlu mempunyai pengetahuan yang tepat mengenai penyakit ini agar mereka dapat menguruskan keadaan mereka dengan baik serta mengelakkan berlakunya komplikasi seperti penyakit jantung, buta dan kerosakan buah pinggang.

Oleh yang demikian, akses kepada rawatan ubat-ubatan, akses kepada sokongan psikososial, akses kepada pemantauan kendiri seperti pemantauan gula dalam darah serta akses kepada pemakanan sihat dan aktiviti fizikal amatlah penting dalam memastikan penghidap diabetes mampu menjalani kehidupan yang berkualiti.

Turut hadir mengiringi Tuanku Syed Faizuddin dan seterusnya menyampaikan taklimat sebagai peringatan ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, Dr Ismuni Bohari.

Untuk rekod, Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 menganggarkan seramai 3.9 juta (18.3 peratus) penduduk Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes.

Peningkatan yang ketara berbanding 11.2 peratus pada tahun 2011 dan 13.4 peratus pada tahun 2015.

Dari jumlah ini, dianggarkan bahawa satu daripada dua pesakit (50 peratus) tidak mengetahui bahawa mereka menghidap penyakit diabetes sehinggalah saringan gula dalam darah dilakukan.

Pada program yang sama Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs menyerahkan sumbangan berjumlah RM21,000 kepada 30 asnaf terpilih masing-masing menerima RM700 setiap seorang dalam kalangan anak kariah masjid yang sama
untuk diagihkan oleh amilnya, Sharizan Abu. – SM

(Visited 113 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button