
Mayat pendaki Malaysia berjaya bawa turun dari Gunung Rinjani, Lombok
SEORANG pendaki warga Malaysia, dikenali sebagai R.A.G, 57, disahkan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam jurang sedalam 80 meter di laluan Banyu Urip, Gunung Rinjani, Indonesia pada Sabtu lalu.
Menurut kenyataan rasmi daripada Balai Taman Nasional Gunung Rinjani (BTNGR), insiden tragis itu berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika kumpulan pendaki seramai 23 orang berhenti untuk mengambil air di mata air Banyu Urip. Difahamkan, mangsa tidak berhenti bersama kumpulan dan terus meneruskan pendakian seorang diri.
Ketua kumpulan yang menyedari tindakan mangsa cuba mengejar dan mengingatkan untuk menggunakan tali keselamatan yang tersedia di laluan curam tersebut. Namun, mangsa enggan mematuhinya dan memilih untuk menuruni cerun tanpa bantuan alat keselamatan.
Malangnya, ketika menuruni laluan tersebut, mangsa tergelincir dan jatuh ke kanan laluan pendakian, terus ke dasar jurang.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Indonesia berjaya mengeluarkan mayat mangsa pada jam 10.30 pagi waktu tempatan, Ahad. Jenazah kemudiannya dibawa ke Hospital Bhayangkara di Mataram bagi proses pengurusan lanjut sebelum dihantar pulang ke tanah air.
Pihak BTNGR mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan menzahirkan rasa dukacita atas kejadian tersebut. Mereka turut mengingatkan semua pendaki agar sentiasa mematuhi prosedur keselamatan dan tidak mengambil mudah setiap langkah, terutama di kawasan berisiko tinggi.
“Alam semula jadi memang indah, tetapi tidak dapat dijangka. Kerjasama semua pendaki dalam menjaga keselamatan amatlah penting,” tegas pihak BTNGR dalam kenyataan mereka.
Gunung Rinjani merupakan salah satu lokasi pendakian paling popular di Indonesia, namun sering kali mencatat insiden berisiko sekiranya pendaki tidak mematuhi garis panduan keselamatan yang telah ditetapkan.