Nasional

Isu Jawi, tanglung, ponggal tak halang NGO Melayu tolong keluarga Cina

MALAYSIA negara yang berbilang kaum. Namun keamanannya sentiasa tergugat dengan isu yang selalunya dipanaskan oleh orang politik dan mereka yang berkepentingan. Isu Jawi, tanglung dan perayaan ponggal antara yang sedang diapi-apikan ketika ini sehingga menyebabkan masyarakat berpecah belah.

Pun begitu, sejak sekian lama, kisah masyarakat silang budaya di Malaysia hidup saling tolong menolong bukanlah sebuah cerita asing, cerita aneh jauh sekali sebuah cerita dongeng.

Antaranya kisah badan bukan kerajaan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita (Dana Kita) membantu membersih, mengemas dan membuang segala macam sampah sarap dalam sebuah rumah keluarga Cina yang boleh diibaratkan seperti tongkang pecah.

Keluarga tersebut tinggal di flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di ibu negara. Ketua keluarga tersebut iaitu si ayah tidak lagi mampu melakukan kerja yang berat kerana sakit. Si isteri hanya bekerja sebagai tukang pembersih di sebuah hotel. Anak-anak pula masih kecil dan bersekolah.

Rumah keluarga itu dipenuhi dengan barangan yang tidak berguna, sampah bertimbun. Barangan lusuh tersebut dikumpul oleh si ayah dengan harapan untuk dijual semula untuk duit belanja anak-anak.

Lebih malang bekalan air keluarga terbabit yang tinggal di tingkat 11 perumahan tersebut juga telah dipotong kerana tidak mampu membayar bil dan hampir dihalau dari flat tersebut.

Mohd. Fadhli Salleh yang berkongsi cerita mengenai keluarga ini, memberitahu anak keluarga tersebut terpaksa menumpang mandi di rumah jiran mereka setiap hari sebelum ke sekolah.

“Saat parti politik sibuk bertengkar bermain sentimen perkauman, saat ada orang Cina menolak Jawi, saat orang Melayu marah tanglung dinaikkan, saat perayaan Ponggal menjadi kontroversi, kami tidak peduli.

“Kami mara dan bantu bukan sebab parti politik. Bukan sebab warna kulit. Bukan sebab bangsa. Bukan sebab agama. Sebab mereka manusia. Darah yang mengalir di dalam badan mereka sama merah macam kita,” kata Mohd Fadhli Salleh.

Berikut cerita Mohd. Fadhli Salleh:

“Cikgu. Saya Kak Yati dari PPR xxxx. Ada satu keluarga Cina di sini setiap hari datang tumpang mandi rumah saya sebelum ke sekolah. Boleh ke cikgu bantu keluarga ni?”

“Bak alamat. Kalau kebetulan saya free saya pergi,” balas aku.

Kebetulan akhir tahun lepas sempat aku ke sana. Melihat sendiri satu keluarga dari bangsa berbeza dengan aku, dari agama yang tidak pun sama.

Rumah mereka bagai tongkang pecah. Eh tak. Tongkang pecah lagi elok. Si ayah tak boleh kerja berat, ada beberapa penyakit yang agak kronik. Hanya isterinya yang kerja sebagai cleaner di sebuah hotel di Ampang.

Anak-anak mereka masih bersekolah. Comel-comel semuanya. Datang bersalam dengan aku dan kami borak macam ayam dan itik.

Air rumah dipotong akibat tak mampu nak bayar sewa rumah. Tertunggak hingga beribu bahkan notis keluar rumah pun sudah sampai.

Walau mereka miskin, pendidikan anak-anak mereka tak abaikan. Waktu aku sampai dua anak mereka tiada di rumah. Pergi kelas tambahan percuma yang dianjurkan oleh persatuan penduduk.

Setelah duduk dan berborak, aku putuskan aku perlu bantu keluarga ini. Keluar dari sampah sarap, bantu agar sekurangnya mereka mendapat bekalan air bersih.

Kak Yati menjadi orang tengah. Tukang runding dengan pengurusan PPR, tukang memberi laporan. Akhirnya kami berjaya deal untuk air disambung semula dengan syarat bayaran sewa rumah perlu berganda.

Air dah settle, tiba masa nak buang semua sampah sarap yang ayah dia sayangi. Semua sampah itu ayah dia kutip, katanya nak recycle. Katanya boleh buat duit.

Tapi itulah, rumah mereka pun tingkat 11. Apa ke gila nak bawa naik turun sampah setiap hari. Dah tu asyik kumpul bertahun tak pernah jual.

Aku terus minta bantuan team Gerilla Dana Kita dengan Sir Muhammad Irwan. Dia ramai budak-budak yang boleh disuruh bila-bila masa.

Maka team Gerilla Dana Kita turun padang dua minggu bergotong royong bersihkan rumah uncle ini. Tiga lori sampah diperlukan untuk bersihkan tau. Fuh, mujur ada team Gerilla ni.

Dan hari ini, rumah mereka telah ada bekalan air bersih. Bebas dari sampah sarap. Dinding kami cat semula. Tingkap dipasang langsir. Lantai diletak tikar. Bantal dan tilam baru juga diberi.

Sempena Perayaan Tahun Baru Cina kali ini, keluarga mereka dapat menyambutnya dengan kemeriahan yang sangat berbeza. Yang sudah bertahun-tahun mereka tidak kecapi. Yang bertahun-tahun tiada siapa peduli.

Tidak kisah apa agama mereka. Apa pula bangsa mereka. Namun mereka tengah susah, mereka tengah tersepit, mereka tengah memerlukan pertolongan dan bantuan.

Dan selagi mampu, aku dan Dana Kita akan cuba membantu sesiapa sahaja tanpa mengira kaum, agama dan bangsa. Happy Chinese New Year uncle!

Beginilah kawan-kawan. Ini bukan keluarga Cina pertama aku dan team bantu. Dah beberapa keluarga Cina, India dan lain-lain kaum kita bantu.

Saat parti politik sibuk bertengkar bermain sentimen perkauman, saat ada orang Cina menolak Jawi, saat orang Melayu marah tanglung dinaikkan, saat perayaan Pongal menjadi kontroversi, kami tidak peduli.

Kami mara dan bantu bukan sebab parti politik. Bukan sebab warna kulit. Bukan sebab bangsa. Bukan sebab agama. Sebab mereka manusia. Darah yang mengalir di dalam badan mereka sama merah macam kita.

We are human and we should have humanity. And we all Malaysian brothers! Tidak banyak tapi sentiasa. Tidak ramai tapi ada. Tidak kaya tapi cakna.

 

 

 

(Visited 352 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button