Nasional

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka meninggal dunia

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Melaka, Datuk Ashakari Abu Noor, 58, meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Melaka kira-kira pukul 1.41 pagi tadi.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Ibrahim Fadil berkata, Allahyarham dimasukkan ke Hospital Melaka sejak dua hari lalu dipercayai akibat serangan jantung.

“Satu kehilangan besar buat UMNO Kota Melaka kerana Allahyarham berpengalaman luas, seorang yang baik, berhemah dan mudah mesra. Saya amat merasai kehilangan sumbangan beliau kepada parti.

“Arwah pernah menjadi timbalan saya sewaktu saya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kota Melaka.

“Sepanjang hayatnya Allahyarham banyak menyumbang kepada UMNO khususnya apabila memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan bahagian kerana beliau kerap memberi maklumat mengenai parti dan perkembangan politik semasa.

“Seluruh kepimpinan UMNO Bahagian Kota Melaka termasuk tiga sayap merakamkan salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Hishammuddin Tun Hussein turut menziarah Allahyarham Datuk Ashakari Abu Noor di Taman Noorba, Melaka.

Ibrahim berkata, kali terakhir beliau menemui Allahyarham sewaktu melawatnya selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Coronari (CCU) Hospital Melaka, semalam.

Menurutnya, antara kenamaan yang menziarahi arwah di kediamannya di Taman Noorba ialah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong serta Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Beliau berkata, Ashakari yang juga Setiausaha Khas Perhubungan kepada Ketua Menteri dimandikan dan dikafankan di rumahnya kira-kira pukul 9.00 pagi sebelum jenazah di bawa ke Surau Kristal Bukit Gedung.

Selepas itu katanya jenazah telah dikebumikan selepas solat zuhur di Tanah Perkuburan Kampung Musai, Bukit Baru di sini.

Allahyarham meninggalkan balu Roslina Zakaria, 59, dan sepasang anak lelaki dan perempuan.

Beliau aktif dalam bidang sukan apabila dilantik sebagai Setiausaha Agung Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan merupakan pengurus skuad berbasikal ke Sukan Olimpik Tokyo 2020. – SM

(Visited 446 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button