Belang Bertempat

Antara jasa pelompat `DNA’ UMNO, survival Melayu dan tiga penjuru

Tan Sri Muhyiddin Yassin bukannya lompat parti ke Parti BERSATU.

Bekas timbalan presiden UMNO itu dipecat dari UMNO pada 24 Jun 2016 atas sebab katanya, `pelanggaran disiplin yang serius’.

Diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dipengerusikan presidennya waktu itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tetapi, peristiwa pemecatan Muhyiddin terjawab timbal balasnya. Ini ekoran Belang difahamkan, Najib sendiri sanggup turunkan tandatangan dalam surat akaun bersumpah (statutory declaration) menyokong beliau sebagai Perdana Menteri kelapan. Muhyiddin angkat sumpah 1 Mac lalu.

Juga, jangan dilupakan jasa kira-kira 12/13 ahli parlimen UMNO yang lompat parti ke BERSATU tempoh hari.

Belang sekadar ingat beberapa nama. Antaranya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Kalau Belang boleh sifatkan mereka yang lompat parti ini juga ada jasanya, boleh juga diterima. Mereka boleh diangkat sebagai pejuang – yang atur strategi masuk kubu lawan (Pakatan Harapan) sampai sanggup gadai maruah semata-mata untuk memastikan tertubuh Perikatan Nasional (PN) hari ini.

Lagipun, jelas sudah terang lagi bersuluh, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri sudah sebut dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) 24 Februari 2020 lalu, bahawa “saya tak suka DAP, tak suka Anwar”.

Muhyiddin, jika masih berjiwa UMNO dan ramai lagi wakil Parlimen BERSATU yang dalam hati mereka ber`DNA’kan UMNO, maka eloklah tinggalkan BERSATU dan kembali ke pangkuan UMNO. Tinggalkan BERSATU pada ‘atok, anak dan cucu’ nya.

Mungkin ada persoalan ditimbulkan: Apa jaminan Muhyiddin masuk UMNO? Bukannya beliau boleh jadi presiden UMNO sebab urusan itu perlu melalui proses mesyuarat cawangan dan bahagian.

Ya, barangkali boleh difikirkan ini: Muhyiddin dilantik Pengerusi PN. Kekal jawatan Perdana Menteri. Bubar BN, hanya ada PN.

Dengan 39 kerusi Parlimen UMNO, ditambah 31 dari BERSATU termasuk 11 dari team Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah jadi berapa? Sudah 70 ahli Parlimen dari UMNO.

Kemudiannya, bersama Pas, gabungan PN (disertai GPS) melangkah ke gelanggang Pilihan Raya Umum ke-15 dengan keyakinan tahap tinggi menghadapi PH satu lawan satu. Tiada lagi tiga penjuru yang merugikan umat Melayu-Islam tempoh hari PRU-14, tetapi hanya persaingan dua penjuru sahaja.

Tan Sri Muhyiddin, ahli Parlimen BERSATU, UMNO dan PAS, kita ini orang Melayu sudah tidak ada apapun di `Tanah Melayu’ Malaysia ini. Ekonomi sudah dikuasai kaum lain. Pendidikan? Mereka juga. Kekayaan? Kita maklum kaum itu jua lah.

Yang kita orang Melayu ada kini, itupun `sekelumit’ yang tinggal hanyalah kuasa politik. Dan berdikit-dikit pula dirampas pihak sebelah sana. Berdamailah.

Kita orang Melayu boleh bayangkan alangkah indahnya Dr. Mahathir boleh duduk semeja memuktamadkan penyatuan Melayu bersama pemimpin-pemimpin utama Melayu yang lain. Ia khususnya dengan Muhyiddin, Tengku Razaleigh Hamzah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin-pemimpin kanan Melayu dari UMNO, Pas dan NGO yang lain.

Kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu, Mujahid Yusof, Khalid Samad nak sertai sama pun, lagilah dialu-alukan.

Cuma satu sahaja masalah besar di sini, bukan sahaja sekadar dihadapi Pas dan UMNO tetapi semua parti Melayu.

Iaitu – orang Melayu ini apabila berpolitik terlampau sangat berparti.

Orang bukan Melayu berpolitik atas nama bangsa dan tahu sasaran mereka, tetapi Melayu, alahai!

Mari kita sama-sama renungkan pesanan Timbalan Yang Dipertua Agung Pas, Allahyarham Prof. Zulkiflee Muhammad (1927-1964) ini:

Beriman di mulut hati berlumut.
Beriman di lidah hati menyalah.
Lidah bercabang langkah menyilang.
Tamak harta mabuk dunia.
Lupa bangsa lupa akhirat.

Kemaruk puji lupa diri.
Ke tengah memfitnah ke tepi mendengki.
Ke laut menghasut ke darat mengumpat.
Ke hulu menipu ke hilir menyindir.
Ke atas mengampu ke bawah melapah.
Ke gunung menyombong.
Ke lurah menyumpah.

Berkawan dengan setan.
Berguru dengan nafsu.
Beraja pada selera.
Bersahabat pada maksiat.

Dalam musyawarah berbantah-bantah.
Dalam berunding tuding menuding.
Dalam helah cacat mencacat.
Sesama keluarga laga melaga.
Sesama kawan makan memakan.
Sesama sahabat sebat menyebat.
Sesama bangsa paksa memaksa.

– SM

(Visited 468 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button