
MAWO MRSM FELDA Trolak Menang Anugerah Emas di Festival Wind Orkestra Antarabangsa
PRAGUE, 22 Jun 2025 – Malaysia melakar sejarah manis dalam bidang seni muzik antarabangsa apabila kumpulan MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari MRSM Ulul Albab FELDA Trolak muncul pemenang Anugerah Emas ‘Golden Diploma Award’ dalam kategori middle class di Festival Antarabangsa Wind Orchestras ke-26 yang berlangsung di Prague, Republik Czech.
Malaysia merupakan satu-satunya wakil dari Asia yang bertanding, berjaya menewaskan tujuh kumpulan lain dari enam negara Eropah. Lebih membanggakan, MAWO menerima markah tertinggi keseluruhan daripada panel juri profesional antarabangsa.
“Kemenangan ini simbol semangat dan potensi luar biasa anak-anak desa yang mampu menakluk pentas dunia,” ujar Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan rasmi beliau hari ini.
“Desaku Mendunia” Kini Realiti
Zahid turut berkongsi pengalaman menyaksikan sendiri persembahan MAWO dalam Konsert “Desaku Mendunia” di Auditorium Seri Angkasa, RTM Angkasapuri pada 28 Mei lalu, sebelum mereka berangkat ke pertandingan berprestij tersebut.
“Saya sendiri menyaksikan dan merasai kehebatan luar biasa yang dimiliki oleh anak-anak muda ini – penuh bakat, disiplin dan semangat luar biasa,” katanya.
Kejayaan MAWO: Kebanggaan MRSM, FELDA dan Malaysia
Kejayaan ini tidak hanya membanggakan MRSM dan FELDA, tetapi dianggap sebagai kemenangan seluruh rakyat Malaysia, membuktikan bahawa anak-anak muda luar bandar juga mampu bersaing dan mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.
Zahid turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus menyokong bidang seni dan budaya, termasuk penyediaan dana, peralatan dan sokongan moral, agar lebih ramai bakat luar bandar dapat digilap.
“Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada anak-anak muda luar bandar bahawa tiada batas untuk bermimpi, dan tiada sempadan untuk berjaya,” katanya.