Nasional

Rasuah: Pengarah bahagian jabatan kerajaan, anak dan menantu ditahan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengarah bahagian sebuah jabatan kerajaan bersama anak perempuan da menantunya kerana disyaki terlibat rasuah.

Menurut sumber, kesemua mereka direman empat hari hingga 18 September depan kerana disyaki menerima suapan bagi mempercepatkan siasatan dan rayuan untuk mengurangkan kompaun terhadap pemilik-pemilik bot nelayan.

“Kesemua suspek yang berusia lingkungan 32 hingga 59 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.50 pagi hingga 12.10 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.

“Suspek dipercayai telah meminta dan menerima suapan antara RM500 sehingga RM2,000 daripada pemilik-pemilik bot nelayan tempatan yang didepositkan ke dalam akaun anak perempuannya.

“Hal itu dilakukan sebagai balasan untuk mempercepatkan tindakan siasatan serta rayuan bagi mengurangkan kompaun terhadap pemilik-pemilik bot nelayan yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 supaya pemilik bot nelayan terbabit mendapat semula bot-bot mereka yang telah ditahan,” katanya.

Ujar sumber lagi, SPRM turut menyita wang tunai dianggarkan lebih RM21,000, barangan kemas dan jam tangan mewah.

Sementara itu, Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh mengesahkan penahanan tersebut dan berkata suspek akan disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. -SM

(Visited 432 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button