Ekonomi

Indahraya Perluas Pasaran Roti Molana, Miliki 40% Ekuiti Dalam Al Shams Bread

JOHOR BAHRU – Produk roti jenama Molana bakal memperluaskan pasarannya ke peringkat tempatan dan antarabangsa apabila menjalin kerjasama dengan Indahraya International Ventures Sdn. Bhd.

Syarikat Indahraya kini memiliki pegangan 40 peratus ekuiti dalam Al Shams Bread Manufacturing Sdn. Bhd., yang menghasilkan produk roti Molana di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Indahraya, Roslin Abd. Rahman berkata, kerjasama itu merupakan langkah memperkasakan keupayaan syarikat Bumiputera Islam yang berpotensi untuk kekal, releven dan berdaya saing dengan iltizam menyediakan makanan halal kepada umat Islam dan bukan Islam.

“Menerusi kerjasama strategik ini, Al Shams Bread dijangka boleh menggandakan jumlah pengeluaran roti sehingga tiga kali ganda sebulan.

“Jika sebelum ini, kapasiti pengeluaran sebanyak dua kontena sebulan dan insya-Allah jumlah itu mampu ditingkatkan sehingga 10 kontena,” katanya pada Majlis Menandatangani Pembelian Ekuiti antara kedua-dua syarikat di kilang Al Shams Bread di Tampoi, di sini semalam.

Pengarah Pengeluaran Al Shams Bread Manufacturing, Dr Rahim Zalizadeh (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Indahraya International Ventures, Roslin Abd. Rahman menandatangani perjanjian pembelian ekuiti di Kilang Al Shams Bread di Tampoi, Johor Bahru, semalam

Pada majlis itu, Al Shams Bread diwakili Pengarah Pengeluarannya, Dr. Rahim Zalizadeh, manakala Roslin mewakili Indahraya International Ventures.

Majlis itu dirasmikan dan disaksikan secara maya oleh Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) Datuk Dr. Nooh Gadut.

Selaras dengan itu, Koperasi Indah Raya Kemaman Berhad (KOINDAH) yang merupakan koperasi milik penuh Indah Raya Group turut dilantik menjadi pengedar tunggal bagi platform pengedaran jenama roti Molana untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Roti jenama Molana bermula di Johor Bahru pada tahun 2010 dengan keluaran produknya yang popular ialah capati untuk pasaran Singapura.

Produk lain produk ialah pratha pastri sejuk beku yang bukan sahaja boleh dimakan sebagai roti canai kosong, malah dijadikan aneka pastri seperti puff, murtabak, pai, pizza, tat Portugis dan lain-lain.

Laporan disediakan oleh : Nurman Nasyriq

(Visited 401 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button