Politik

Mata saya sakit bukan buta, Najib tunjuk surat MC

TANJUNG PIAI – Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terpaksa memuat naik surat cuti sakit (MC) di Facebook beliau apabila dilemparkan tuduhan berbohong oleh penyokong Pakatan Harapan.

Kehadiran bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bagi menyokong calon BN, Datuk Wee Jack Seng pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai hari ini ternyata tidak disenangi penyokong lawan.

Malah terdapat laporan polis dibuat terhadap Najib kerana didakwa menipu sakit mata sehingga tidak dapat hadir di mahkamah pada Khamis lepas namun boleh hadir menyokong calon BN hari ini.

“Untuk menghentikan spekulasi, saya muat naik MC saya. Cuti sakit saya untuk 1 hari sahaja, iaitu untuk 31 Oktober 2019 (Khamis).

“Saya ke Tanjung Piai pada hari Jumaat (1 Nov 2019). Bukan MC dua hari seperti yang dilaporkan kepada Polis oleh penyokong PH untuk suruh polis siasat kenapa saya tidak berehat di rumah pada hari Jumaat. Dah puas hati belum?” Kata Najib.

Menurut beliau, perbicaraan kes SRC sudah berlangsung 78 hari dan kes 1MDB dah 28 hari.

Dalam tempoh 106 hari perbicaraan tersebut, Najib berkata, beliau hanya mengambil cuti sakit kerana mata sakit sebanyak tiga hari.

“Ada juga dua tiga wartawan yang tanya tentang mata saya. Setelah mereka tengok sendiri, baru mereka puas hati bahawa mata saya benar-benar bengkak.

“Saya nak maklumkan kepada penyokong-penyokong PH bahawa mata saya sakit, bukan buta dan saya masih mampu melihat. Takkan isu terbesar untuk PRK Tanjung Piai ialah jika mata saya sakit atau tidak?” tanya Najib.

Najib secara sinis berkata, tidak ada apa yang perlu ditakut berhubung kehadiran beliau di Tanjung Piai sehingga ada laporan polis dibuat untuk menyiasat kenapa beliau tak berehat di rumah.-SM

(Visited 79 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button